Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) berkenan menyumbang RM300,000 untuk penyelenggaraan padang bagi tahun pertama kepada setiap pasukan Liga Super.

Bagaimanapun, ia diberikan kepada pasukan yang menerima geran RM500,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi pembinaan padang baharu jenis Zeon Zoysia atau bermuda dan sistem perparitan baharu yang berkualiti di stadium yang terpilih.

Baca Juga:

Geran daripada kementerian tersebut adalah hasil perbincangan antara TMJ dan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh pada tahun lalu.

“Saya telah menegaskan tentang kepentingan infrastruktur bola sepak yang berkualiti. Saya berharap dapat melihat infrastruktur di seluruh negara menjadi lebih baik dan menepati piawaian antarabangsa,” kata TMJ.

Projek penukaran rumput ini mesti diselesaikan pada bulan April 2024 sebelum musim baharu Liga Malaysia membuka tirai.

FOTO: HRH Crown Prince of Johor

Sebelum ini, beberapa negeri tidak dapat meneruskan projek penanaman rumput tersebut kerana memikirkan kos selenggara tinggi yang perlu ditanggung pada setiap bulan.

Hannah Yeoh sebelum ini berkata hanya negeri Sarawak sahaja yang telah menyatakan persetujuan untuk menanamkan rumput itu di stadium mereka.

Venue stadium yang dipilih oleh kerajaan negeri sendiri perlulah memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Malaysia Football League (MFL).

Penukaran kepada rumput Zeon Zoysia ini adalah berdasarkan amalan terbaik negara-negara di Asia Tenggara, antaranya seperti Singapura, Thailand dan Indonesia yang telah pun menggunakan rumput Zeon Zoysia.

Rumput Zeon Zoysia adalah antara rumput berkualiti tinggi dan tahan lasak yang dicadangkan KBS untuk ditanam di padang bola sepak stadium semua negeri.