Skuad kebangsaan Perancis mengesahkan status sebagai juara Kumpulan I selepas membelasah Norway 4-1 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia 2026.
Apa yang sepatutnya menjadi pertembungan antara dua kuasa besar Eropah bertukar menjadi pentas buat Ousmane Dembele apabila bintang Perancis itu meledak hat-trick dalam tempoh hanya 32 minit pertama perlawanan.
Perancis bermula garang apabila Dembele membuka jaringan seawal minit ketujuh hasil bantuan Kylian Mbappe. Beliau kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-20 sebelum melengkapkan hat-trick pada minit ke-32.
Norway sempat merapatkan jurang menerusi Thelo Aasgaard pada minit ke-21, namun mereka gagal memberikan tentangan bermakna selepas itu.
Malah, Jørgen Strand Larsen turut mensia-siakan peluang terbaik apabila sepakan penaltinya berjaya diselamatkan penjaga gol Perancis, Mike Maignan. Desire Doue melengkapkan kemenangan bergaya Perancis dengan gol keempat pada masa kecederaan.
Keputusan itu menyaksikan Perancis menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan rekod sempurna dan muncul juara Kumpulan I, manakala Norway tetap mara ke pusingan 32 sebagai naib juara kumpulan. Mereka kini dijadualkan bertemu Ivory Coast di pusingan kalah mati.
Menariknya, Norway membuat rombakan besar dengan merehatkan beberapa tonggak utama termasuk Erling Haaland dan Martin Odegaard yang langsung tidak diturunkan. Keputusan itu dipercayai bagi memastikan pemain-pemain utama kekal cergas menjelang aksi kalah mati.