Perintis Academy terus komited dalam memperkukuh pembangunan bola sepak akar umbi menerusi penganjuran Klinik Kejurulatihan Bola Sepak Pembangunan Akar Umbi.
Ia merupakan satu inisiatif pembangunan jurulatih komuniti yang dilaksanakan dengan kerjasama Management and Science University (MSU) di bawah program Outreach dan Sustainable Development Goals (SDG).
Program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) serta dua akademi bola sepak tempatan iaitu Kelab Bola Sepak Merah Kuning (KBMK) dan Sabak All Star FC (SAS FC) yang telah membantu memastikan perjalanan program berlangsung dengan lancar dan berkesan.

Klinik kejurulatihan ini dikendalikan oleh YM Raja Isa Raja Akram Shah, seorang jurulatih profesional yang memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam arena bola sepak serta pemegang Lesen Pro, tahap tertinggi dalam kelayakan kejurulatihan bola sepak.
Seramai 15 jurulatih telah menyertai program ini, bukan sahaja dari Sabak Bernam malah melibatkan penyertaan dari negeri lain seperti Johor dan Sarawak. Kehadiran peserta dari pelbagai latar belakang membuktikan keperluan dan minat tinggi terhadap pembangunan ilmu kejurulatihan bola sepak di peringkat komuniti.
Sepanjang klinik berlangsung, para peserta didedahkan kepada pendekatan latihan yang menyeluruh melalui gabungan sesi teori dan praktikal.
Antara aspek yang diketengahkan termasuk kecergasan fizikal, pembangunan kelajuan dan ketangkasan, fleksibiliti, latihan teknikal, pemakanan sukan, pemulihan atlet serta perancangan program latihan yang efektif.
Selain memperkukuh pemahaman terhadap teknik dan metodologi latihan moden, peserta turut diberi pendedahan mengenai aplikasi latihan teknikal dalam situasi permainan sebenar.
Pendekatan ini bertujuan membantu jurulatih membangunkan sesi latihan yang lebih sistematik, berkesan dan sesuai dengan keperluan pembangunan pemain di peringkat akar umbi.
Program ini dilihat sebagai antara inisiatif pelopor yang berjaya menghimpunkan jurulatih-jurulatih komuniti untuk menimba ilmu daripada seorang jurulatih profesional secara percuma.
Melalui penganjuran seumpama ini, jurulatih komuniti berpeluang meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keyakinan dalam membangunkan pemain muda secara lebih terancang.

Perintis Academy Komited Perkukuh Pembangunan Akar Umbi
Menurut Perintis Academy, pembangunan bola sepak yang mampan tidak hanya tertumpu kepada usaha melahirkan pemain berkualiti, malah memerlukan pelaburan berterusan dalam pembangunan jurulatih sebagai tunjang utama yang membentuk generasi pemain masa hadapan.
Penganjuran klinik ini mencerminkan komitmen berterusan Perintis Academy dan rakan strategik dalam memperluas akses kepada pendidikan kejurulatihan, meningkatkan standard latihan serta memperkukuh ekosistem pembangunan bola sepak akar umbi di Malaysia.
“Membina jurulatih berkualiti hari ini, demi melahirkan bakat bola sepak masa hadapan.”