Perintis Academy telah mengambil satu langkah proaktif dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama Little Caliph Cawangan Taman Putra Perdana di bawah pengurusan Tadika Kasih Khalifah bagi melaksanakan program pembangunan futsal khusus untuk kanak-kanak bawah enam tahun (U6).

Kerjasama itu bertujuan memperkenalkan sukan futsal kepada kanak-kanak seawal usia enam tahun menerusi pendekatan latihan yang menyeronokkan, berstruktur dan bersesuaian dengan tahap perkembangan mereka.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, sebuah mini gelanggang futsal telah dibangunkan di dalam kawasan Tadika Kasih Khalifah bagi memudahkan pelaksanaan latihan dan aktiviti pembangunan secara konsisten dalam persekitaran yang selamat serta kondusif untuk kanak-kanak.

Perintis Academy Jalin Kerjasama Dengan Little Caliph Taman Putra Perdana, Fokus Pembangunan Futsal Bawah 6 Tahun

Perintis Academy Fokus Pembangunan Akar Umbi

Program berkenaan memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah, disiplin, keyakinan diri dan kemahiran sosial anak-anak seawal usia lima tahun menerusi aktiviti sukan yang dirancang secara khusus.

Di bawah seliaan Perintis Academy, program ini menggunakan konsep pembangunan jangka panjang atlet (Long-Term Development) dengan memberi tumpuan kepada penguasaan kemahiran asas serta perkembangan psikomotor kanak-kanak secara berterusan sejak usia muda.

Antara modul yang diterapkan ialah latihan Ball Mastery dan Small-Sided Games (SSG) yang disusun mengikut tahap perkembangan kanak-kanak.

Pendekatan tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada peserta mempelajari asas futsal dengan betul, malah memastikan mereka dapat menikmati pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif.

Menurut Pemilik merangkap Ketua Jurulatih Perintis Academy, Muhammad Khalis, program pembangunan akar umbi seperti ini perlu diteruskan secara konsisten bagi memberikan impak kepada masa depan bola sepak dan futsal negara.

“Kita perlu memastikan program-program seperti ini diteruskan secara konsisten. Hanya dengan usaha berterusan, pembangunan akar umbi mampu memberi impak sebenar kepada masa depan bola sepak dan futsal negara.”

“Kami juga sedang membuat persiapan untuk menganjurkan Karnival Futsal U6 pada 21 November 2026 di Cyberjaya. Kami mengalu-alukan penyertaan pasukan yang berminat untuk bersama-sama memeriahkan acara tersebut dan boleh terus menghubungi pihak kami untuk maklumat lanjut.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kasih Khalifah, Puan Azian menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai satu inisiatif menarik yang mampu memberikan nilai tambah kepada perkembangan kanak-kanak pada peringkat awal.

“Kerjasama ini merupakan satu inisiatif yang sangat menarik dan memberi nilai tambah kepada perkembangan kanak-kanak di peringkat awal.”

Perintis Academy Jalin Kerjasama Dengan Little Caliph Taman Putra Perdana, Fokus Pembangunan Futsal Bawah 6 Tahun
Muhammad Khalis bersama pemain-pemain cilik

“Program seperti ini wajar diperluaskan ke lebih banyak tadika Little Caliph dan berpotensi untuk dijadikan sebagai program tahunan dalam rangkaian Little Caliph pada masa akan datang.”

Menerusi kerjasama ini, kedua-dua pihak berharap dapat membentuk program yang sihat, berilmiah dan menarik untuk kanak-kanak bawah enam tahun, sekali gus membantu melahirkan generasi yang aktif, berdisiplin dan berkeyakinan tinggi.

Perintis Academy turut menegaskan komitmennya untuk terus meneroka pelbagai inisiatif baharu bagi memastikan pembangunan akar umbi kekal menjadi keutamaan dalam pembangunan sukan negara, khususnya dalam arena futsal.