Akademi Perintis terus mengorak langkah memperkasa pembangunan futsal akar umbi apabila tampil menganjurkan Unity Futsal League 2026 yang bukan sekadar menjadi medan persaingan, malah platform pendidikan buat pemain muda memahami permainan mengikut standard futsal antarabangsa.
Memasuki edisi ketiga penganjurannya, kejohanan yang berlangsung di gelanggang Akademi Perintis di Apartment Seroja, Taman Putra Perdana, Puchong itu mengetengahkan kelainan apabila menggunakan sepenuhnya undang-undang rasmi FIFA Futsal, sekali gus memberikan pendedahan awal kepada pemain cilik mengenai aspek teknikal permainan yang sebenar.
Bermula pada 18 Julai hingga 19 September bagi saingan peringkat kumpulan, kejohanan itu akan diakhiri dengan Grand Final pada 26 September yang menyaksikan perebutan beberapa kategori piala berdasarkan kedudukan akhir setiap pasukan di peringkat kumpulan.

Sebanyak sembilan pasukan mengambil bahagian dalam kategori Bawah 12 Tahun iaitu melibatkan:
1) Akademi Perintis
2) Nilai City FC
3) Sepang Crystal FC
4) MAR FT
5) GPR Panthera
6) Football First Academy
7) Abedeen Academy
8) Ulty FC
9) GPR Fighters
Manakala tujuh pasukan pula akan beraksi bagi kategori Bawah 10 Tahun yang terdiri daripada:
1) GPR Titan
2) GPR Junior
3) Blue Phoenix
4) Football First Academy
5) Nilai City FC
6) MBPJ Futsal Club
7) Bluebetta Futsal Team
Perbezaan Unity Futsal League 2026 Berbanding Kejohanan Lain
Apa yang membezakan kejohanan ini dengan kebanyakan pertandingan futsal peringkat kanak-kanak lain ialah penguatkuasaan beberapa undang-undang rasmi FIFA Futsal yang jarang digunakan pada peringkat akar umbi.
Antaranya ialah pelaksanaan peraturan enam foul serta peraturan backpass melibatkan goleiro (penjaga gol), sekali gus membiasakan pemain dengan situasi sebenar yang akan mereka hadapi apabila meningkat ke peringkat lebih tinggi.
Langkah itu bukan sahaja membantu meningkatkan pemahaman taktikal pemain, malah mengelakkan mereka daripada terlalu bergantung kepada format pertandingan yang telah diubah suai sehingga menyukarkan proses peralihan ke peringkat kompetitif.
Lebih menarik, barisan pengadil yang bertugas di Unity Futsal League 2026 bukan sekadar mengadili perlawanan, malah turut memainkan peranan sebagai pendidik dengan memberikan penerangan secara langsung kepada pemain mengenai sesuatu keputusan atau situasi mengikut undang-undang rasmi futsal.
Pendekatan tersebut membantu pemain muda memahami rasional di sebalik sesuatu keputusan pengadil, sekali gus membentuk budaya menghormati pegawai perlawanan, memupuk semangat kesukanan serta meningkatkan disiplin dan profesionalisme sejak usia muda.
Kesemua perlawanan pula dijalankan dalam format tiga sesi, dengan setiap sesi berlangsung selama 15 minit dan dipisahkan oleh rehat selama seminit. Semua aksi diadakan di gelanggang yang memenuhi piawaian FIFA Futsal Community Courts, sekali gus memberikan pengalaman pertandingan yang lebih berkualiti kepada setiap peserta.
Sistem pertandingan juga direka supaya setiap pasukan terus mempunyai sasaran untuk diburu sehingga penghujung kejohanan.
Format Pertandingan Unity Futsal League 2026
Bagi kategori Bawah 10 Tahun, dua pasukan teratas akan berentap dalam Champions Cup, manakala pasukan di tangga ketiga dan keempat bersaing dalam Winner Cup. Pasukan di kedudukan kelima dan keenam pula akan merebut Challenge Cup, sementara pasukan di tangga ketujuh akan menentang pasukan jemputan dan menerima hadiah saguhati.
Bagi kategori Bawah 12 Tahun pula, dua pasukan terbaik akan beraksi dalam Champions Cup, diikuti Winner Cup (tempat ketiga dan keempat), Challenge Cup (tempat kelima dan keenam) serta Contender Cup (tempat ketujuh dan kelapan). Pasukan yang menamatkan saingan di tangga kesembilan pula akan bertemu pasukan jemputan serta menerima hadiah saguhati.
Lebih menarik, penganjuran Unity Futsal League 2026 ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS)
Dengan gabungan format pertandingan yang profesional, penerapan undang-undang rasmi FIFA Futsal serta penekanan terhadap aspek pendidikan dan pembangunan karakter, Unity Futsal League 2026 membuktikan bahawa pembangunan pemain bukan hanya diukur menerusi kemenangan tetapi juga melalui ilmu, disiplin dan pengalaman yang diperoleh sepanjang kejohanan.