Hasrat untuk melihat gandingan Pearly Tan-M. Thinaah turut ke perlawanan akhir acara beregu wanita Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025 tidak kesampaian.

Ia berikutan kekalahan pasangan ranking keempat dunia tersebut di tangan Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dalam aksi yang berlanjutan ke ‘rubber set’.

Baca Juga:

Ternyata sokongan padu para penyokong di Axiata Arena, Bukit Jalil masih belum cukup membantu Pearly-Thinaah untuk menewaskan gandingan dari China itu.

Bagaimanapun, Pearly dan Thinaah tetap menjelmakan aksi terpuji dalam memberikan kesukaran buat Yi Fan-Shu Xian sepanjang perlawanan.

Jia Yi Fan yang merupakan juara dunia empat kali dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2024 menggunakan pengalaman luas beliau dalam mendapatkan mata terutama menerusi smash kencangnya.

Keadaan itu membolehkan Yi Fan-Shu Xian memenangi set pertama dengan jurang mata 21-16.

Thinaah
Kredit Foto: NSTP/ASWADI ALIAS

Tidak mahu lawan memenangi perlawanan dengan mudah, Pearly dan Thinaah memperbaiki aksi untuk mencuri set kedua 21-15 bagi mengheret permainan ke set penentuan.

Set ketiga memperlihatkan aksi lebih kemas daripada pasangan China itu yang akhirnya memastikan kemaraan ke final dengan kemenangan 21- 14.

Hadiah Wang Tunai Buat Pearly-Thinaah

Dengan kekalahan di separuh akhir ini, pasangan negara itu bakal menerima hadiah wang tunai bernilai $6,650.00 (RM28,665.14)

Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian akan menanti rakan senegara, Liu Sheng Shu-Tan Ning yang menewaskan pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu-Febi Setianingrum 12-21, 21-7, 21-9.