Malaysia dan India terpaksa berpuas hati terikat 1-1 pada Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Gachibowli, Hyderabad sebentar tadi.
Perlawanan ini menyaksikan Pau Marti Vicente membuat tujuh pertukaran pemain di kesebelasan utamanya dengan hanya mengekalkan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Dion Cools, Nooa Laine dan Paulo Josue.
Baca Juga:
- Perlawanan Persahabatan: Malaysia Menang 3-1 Ke Atas Laos
- Perlawanan Persahabatan: Malaysia Tumpas 0-4 Di Tangan New Zealand
- Aksi Persahabatan Malaysia Menentang Arab Saudi Dibatalkan
Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai aksi skuad negara pada separuh masa pertama dimana tidak banyak gerakan kreatif dan berbahaya dijelmakan.
Hanya corak permainan dengan hantaran-hantaran jauh dilakukan yang nyata memudahkan jentera pertahanan tuan rumah untuk mematahkan usaha tersebut.
Namun kesilapan penjaga gol India, Gurpreet Singh Sandhu dihukum Paulo Josue untuk memisahkan kedua-dua pasukan pada minit ke-19.
Berpunca daripada hantaran jauh Azam Azmi Murad ke arah pintu gol India tidak dapat dibaca dengan baik Gurpreet ketika beliau sudah keluar jauh daripada posisinya memberikan ruang buat Josue untuk mudah menolak masuk gol pertama Malaysia.
Tersentak dengan gol tersebut, India memperkemaskan aksi untuk kembali menyamakan kedudukan dan usaha anak buah Manolo Marquez itu membuahkan hasil pada minit ke-39.
Gol itu terhasil berpunca daripada sepakan penjuru Brandon Fernandes yang berjaya ditanduk bek kanan, Rahul Bheke untuk menceriakan penyokong tuan rumah.
Memasuki babak kedua, aksi lebih baik ditampilkan skuad negara tetapi usaha dimiliki menerusi rembatan dalam kawasan penalti oleh Daniel Ting pada minit ke-60 dinafikan Gurpreet Singh.
Aksi akrobatik pemain gantian, Safawi Rasid berselang sembilan minit kemudian pula sekadar tersasar di sebelah kiri pintu gol.
Skuad negara hampir mendapatkan jaringan kemenangan pada masa kecederaan tetapi tandukan Fergus Tierney hanya singgah di tiang gol manakala percubaan susulan Safawi pula melewati palang gol.
Kedudukan 1-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk skuad negara menutup aksi pada ‘FIFA Day’ kali ini tanpa kekalahan dimana sebelum ini mereka menundukkan Laos 3-1.