New Zealand jelas berada di kelas tersendiri selepas menundukkan Malaysia 4-0 pada aksi persahabatan Tier 1 yang berlangsung di Stadium North Harbour, Auckland sebentar tadi.

Berdepan lawan yang menghuni ranking ke-95 dunia dan mempunyai kelebihan fizikal jelas memberikan kesukaran buat anak buah Pau Marti Vicente itu.

Baca Juga:

Ia jelas dibuktikan apabila pasukan tuan rumah dengan tenang menguasai permainan serta mencipta beberapa peluang terbaik untuk merobek gawang skuad negara.

Permainan di babak pertama menyaksikan penjaga gol skuad negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dan barisan pemain pertahanan dikerah untuk bekerja keras bagi menghalang gawang Malaysia daripada dibolosi.

Ahmad Syihan dilihat beberapa kali beraksi cemerlang dalam melindungi gawangnya untuk kedudukan terikat tanpa jaringan pada rehat babak pertama.

Memasuki babak kedua, skuad negara bermula baik dengan tekanan diberikan ke arah pintu gol New Zealand yang dikawal Alex Paulsen.

Percubaan tepat pertama buat skuad negara hadir pada minit ke-51 hasil tandukan Romel Morales yang ditangkap kemas Paulsen ketika situasi sepakan percuma.

Namun, skuad kendalian Darren Bazeley segera memperkemaskan aksi dan berjaya membuka tirai jaringan berselang tiga minit kemudian menerusi Eliah Just.

Just menolak masuk bola hasil percubaan dalam kawasan penalti yang menewaskan Ahmad Syihan setelah menerima hantaran lintang daripada pemain bek kiri, Liberato Cacace.

Dengan gerakan yang hampir serupa dilancarkan oleh Cacace pada minit ke-61, ia memberikan ruang buat Matthew Garbett untuk melakukan percuaan leret untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Kesilapan Ahmad Syihan yang gagal mengeluarkan bola hantaran lintang Just yang terus ke kepala Chris Wood membolehkan penyerang Nottingham Forest itu menanduk masuk bola bagi mengukuhkan lagi kedudukan buat New Zealand pada minit ke-72.

Logan Rogerson yang diberikan ruang luas oleh pemain pertahanan Malaysia meledakkan percubaan daripada luar kawasan penalti pada masa kecederaan untuk mengesahkan kemenangan empat gol tanpa balas buat New Zealand.