Permohonan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dikhabarkan belum mendapat perkenan.

Menurut laporan Harian Metro, permohonan itu sudah dikemukakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) itu, namun difahamkan belum diperkenan oleh Sultan Sharafuddin.

Baca Juga:

“Betul, permohonan Hamidin untuk menghadap Sultan Selangor belum mendapat perkenan,” katanya ringkas ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Hamidin memaklumkan sudah menghantar surat rasmi memohon untuk menghadap Sultan Selangor bagi menjelaskan isu membabitkan Selangor FC.

Sultan Selangor menzahirkan rasa kecewa dan murka selepas MFL membuat keputusan untuk menjatuhkan hukuman denda RM100,000, dipotong 3 mata serta diperintah bermain di stadium kosong ketika menentang JDT.

Sultan Selangor dalam satu kenyataan, menyatakan terkejut dan kecewa dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang disifatkan tidak serius bersuara, sedangkan beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor.

Hamidin juga merupakan penerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) daripada Sultan Selangor.

Sultan Selangor turut menyifatkan hukuman yang diumumkan oleh MFL adalah tidak masuk akal dan sangat berlebihan.

“Beta berpandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan,” kata baginda.