Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberi tanggapan mengenai pihaknya yang menjalankan kerjasama dengan kumpulan penyokong skuad kebangsaan iaitu Ultras Malaya.
Tuduhan itu hadir menerusi surat layang yang sedang hangat menjadi perbincangan di kalangan peminat bola sepak tanah air dimana ketua kepada kumpulan penyokong tersebut yang dikenali sebagai Lekir memiliki kaitan dengan badan itu.
Baca Juga:
- FAM Akan Lakukan Siasatan Dalaman, Cari Siapa Hantar ‘Surat Layang’
- Noor Azman Maafkan Individu Hantar ‘Surat Layang’
- FAM Anggap Semua Dakwaan ‘Surat Layang’ Tidak Benar
“Tiada (kerjasama). Anda kena faham, Lekir dan beberapa orang lain dari Ultras Malaya datang ke pejabat untuk membincangkan mengenai persiapan skuad kebangsaan dan memberi beberapa idea. Tiada apa-apa kepentingan.
“Sepanjang saya jadi presiden, beliau ada datang ke pejabat beberapa kali. Tiap kali ada perlawanan, beliau akan bertanya mengenai persiapan seperti harga tiket dan sebagainya. Itu sahaja,” kata Datuk Hamidin.
Kongres Tahunan FAM Kali Ke-60 | Isnin, 1 April 2024
Kongres Tahunan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Kali Ke-60 telah berlangsung di Hotel Dorsett Grand Subang, petang tadi yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin.#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/cqBVv85pe6
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) April 1, 2024
Surat layang yang beredar di kalangan pemegang taruh bola sepak Malaysia nyata memberi persepsi negatif terhadap badan induk bola sepak Malaysia itu.
Ketika FAM sendiri sedang menangkis pelbagai tohmahan yang dilontarkan terhadap mereka, tidak kurang juga ada peminat yang mahu individu yang dipetik dalam surat itu untuk melepaskan jawatan masing-masing.
Dalam surat tersebut, si penghantar banyak menyenaraikan salah laku yang menurutnya dilakukan oleh Noor Azman Hassan dan meminta agar beliau dilucutkan jawatan sebagai setiausaha agung badan itu.
Noor Azman tidak banyak memberikan komen dan hanya menegaskan beliau sudah memaafkan individu yang telah melontarkam fitnah terhadapnya.
“Dalam bulan ramadan ini, apatah lagi 10 malam terakhir, satu perkara sahaja yang saya mahu sebut iaitu memaafkan segala fitnah yang dilontarkan kepada saya.
“Saya risau kalau dia kemalangan, meninggal dunia dan tak sempat untuk meminta maaf kepada saya,” katanya.
Dalam masa yang sama, Datuk Hamidin turut berkata surat tersebut sebagai satu fitnah dan tohmahan semata-mata selain datang daripada pihak yang mempunyai rasa tidak puas hati dengan kepimpinan tertinggi FAM.
Oleh itu, Datuk Hamidin menegaskan pihaknya akan melakukan siasatan dalaman bagi mencari sumber ataupun individu yang menghantar surat tersebut.
“Kalau surat seperti ini dihantar setiap masa, letih juga kita nak melayan. Kami telah bersetuju untuk melakukan siasatan dan mencari punca dari mana dan siapa yang menghantar email ini.