Ketua bagi kumpulan penyokong pasukan kebangsaan, Ultras Malaya yang dikenali sebagai Lekir membuat laporan polis sekaligus menafikan beliau mempunyai hubungan istimewa dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seperti yang didakwa dalam surat layang yang beredar baru-baru ini.

Menerusi laman media sosial Facebook miliknya, beliau memuat naik gambar yang menunjukkan sekeping kertas yang merupakan laporan polis serta memberikan komen mengenai tuduhan yang dilontarkan terhadapnya.

Baca Juga:

“Tiba masanya utk saya memulakan bicara yang tidak perlu panjang tapi cukup utk MENAFIKAN segala fitnah yang tersebar luas berkaitan diri saya di bulan suci ini.

“Segala fitnah berkaitan subsidi ke luar negara untuk menyokong pasukan kebangsaan adalah salah dan semua kos adalah atas biaya saya sendiri. Persepsi yang mengatakan saya melobi/ mendapatkan projek daripada FAM juga adalah salah kerana saya tiada apa-apa yang nak dikejarkan dalam FAM, saya ada kerjaya saya sendiri & Alhamdulillah saya cukup makan dengan cara ini.

“Tidak dinafikan, saya ada beberapa kali ke FAM bertemu presiden & Setiausaha Agung untui membincang perihal penyokong untuk ke Qatar bagi Piala Asia 2023 yang lepas.

“Segala apa yang saya lakukan dalam perjalanan bolasepak ini, in sha Allah saya masih tau hukum & falsafah bolasepak yg perlu saya jaga.

“Sekian, Semoga yang tenang-tenang saja buat kita semua menjelang Syawal mulia nanti,” kata Lekir.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga nenafikan pihaknya mempunyai hubungan istimewa dengan Lekir dan beliau menegaskan kehadiran individu itu ke pejabat hanyalah berkaitan skuad kebangsaan.

“Tiada (kerjasama). Anda kena faham, Lekir dan beberapa orang lain dari Ultras Malaya datang ke pejabat untuk membincangkan mengenai persiapan skuad kebangsaan dan memberi beberapa idea. Tiada apa-apa kepentingan.

“Sepanjang saya jadi presiden, beliau ada datang ke pejabat beberapa kali. Tiap kali ada perlawanan, beliau akan bertanya mengenai persiapan seperti harga tiket dan sebagainya. Itu sahaja,” kata Datuk Hamidin.