Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan ramai pemain kacukan yang menjadi perbincangan sejak akhir-akhir ini tidak memiliki kaitan dengan Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Datuk Hamidin menegaskan pihaknya tidak bercadang untuk mengambil khidmat pemain kacukan bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya dalam masa terdekat.

Baca Juga:

“Maklumat daripada pegawai saya maklumkan beberapa pemain itu tak boleh, mereka semua bukan orang Malaysia.

“Jadi banyak yang palsu, saya fikir tak perlu nak ambil kira benda itu. Saya nafikan perkara itu semua, kita pun tiada beria-ia sangat,” kata Datuk Hamidin.

Pada masa yang sama, beliau mahu semua staf kejurulatihan pasukan negara bagi memberi fokus kepada pemain tempatan untuk beraksi bersama pasukan negara di peringkat antarabangsa.

Selepas pasukan negara layak ke Piala Asia 2023, terdapat beberapa pemain yang beraksi di luar negara dilaporkan memiliki pertalian dengan Malaysia.

Antara pemain yang mendapat banyak perhatian ialah Ferdy Druijf dimana pemain berusia 25 tahun ini sedang menyinar bersama kelabnya, PEC Zwolle dalam saingan Eredivisie. Beliau dikhabarkan memiliki darah Malaysia dari sebelah ibunya walaupun dilahirkan di Belanda.

FAM
Bild zeigt: Ferdy Druijf, SK Rapid Wien – Austria Klagenfurt, 06.03.22, Allianz Stadion, Wien, Austria © Red Ring Shots

Pemain tersebut turut mengikuti akaun media sosial FAM sekaligus menjadi bualan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Seorang lagi pemain ialah Daniel Adshead yang beraksi di bahagian tengah. Adshead yang berusia 23 tahun dilaporkan memiliki darah Malaysia daripada sebelah bapanya.

Malah, platform laman antarabangsa iaitu Transfermarkt yang berpengkalan di United Kingdom mengesahkan Adshead adalah pemain keturunan Malaysia yang dilahirkan di Manchester, England.

Beliau sebelum ini pernah mewakili pasukan England bawah 18 (B-18) dan B-19 pada 2018 serta 2019 lalu. Adshead kini bermain untuk AFC Fylde dalam saingan liga divisyen lima di England.