Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini dilaporkan sedang memantau perkembangan tiga hingga empat pemain kacukan baharu bagi memperkuatkan pasukan Harimau Malaya.

Lambakan pemain berdarah keturunan Malaysia yang beraksi di eropah seperti didedahkan oleh laman instagram frfuturetalents membangkitkan rasa teruja dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Baca Juga:

Namun, hanya empat nama yang dilihat lebih ‘realistik’ untuk menyarung jersi Harimau Malaya berdasarkan status darah Malaysia daripada sebelah ibu atau bapa seperti Matthew Davies, Corbin Ong, Darren Lok dan Dion Cools.

1. Ferdy Druijf

Pemain yang berusia 25 tahun ini difahamkan dalam pemantauan Kim Pan-gon sebagai calon peledak utama skuad Harimau Malaya pada masa yang akan datang.

Skuad Harimau memerlukan pemain berkualiti di posisi serangan kerana negara kini ketandusan penyerang prolifik untuk bersaing di pentas antarabangsa.

Druijf dilihat sebagai pemain kacukan ‘kategori A’ dan kini sedang menyinar bersama kelabnya, PEC Zwolle dalam saingan Eredivisie. Beliau juga memiliki darah Malaysia sebelah ibunya walaupun dilahirkan di Belanda.

Pemain tersebut turut mengikuti akaun media sosial FAM sekaligus menjadi bualan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

2. Daniel Adshead

Seorang lagi calon pemain kacukan baharu, Daniel Adshead yang memiliki potensi untuk menambah kekuatan di jentera tengah Harimau Malaya.

Adshead berusia 23 tahun dilaporkan memiliki darah Malaysia daripada sebelah bapanya.

Malah, platform laman antarabangsa, transfermarkt.com yang berpengkalan di United Kingdom mengesahkan Adshead adalah pemain keturunan Malaysia yang dilahirkan di Manchester, England.

Beliau sebelum ini pernah mewakili pasukan England bawah 18 (B-18) dan B-19 pada 2018 serta 2019 lalu. Adshead kini bermain untuk AFC Fylde dalam saingan liga divisyen lima di England.

3. Zian Flemming

Pemain tengah yang berusia 25 tahun ini dilaporkan memiliki darah Malaysia daripada sebelah bapanya. Flemming kini beraksi bersama Millwall FC dalam Liga Championship iaitu divisyen 2 di England. 

Beliau juga mampu beraksi di posisi penyerang sekaligus bakal memberi banyak pilihan kepada Kim Pan Gon untuk membentuk barisan mantap dalam skuad Harimau Malaya.

Produk akademi Ajax Amsterdam ini tidak pernah dipanggil sertai skuad kebangsaan Belanda dan sudah tentu beliau berpotensi menyarung jersi Malaysia suatu hari nanti.

4. Quilan Poulina

Poulina yang berusia 20 tahun memiliki ketinggian 190 cm dilihat sebagai calon pemain kacukan baharu bagi memperkuatkan skuad bawah 23 tahun Malaysia dalam saingan Piala Asia B-23 bulan April ini.

Malah, Poulina juga boleh beraksi di posisi kritikal iaitu ‘Defensive Midfield’ bagi mengekang serangan pasukan lawan serta membantu bahagian pertahanan.

Beliau dilaporkan mempunyai darah keturunan Malaysia daripada sebelah ibunya dan kini beraksi bersama kelab divisyen 3 Belanda, VV Katwijk.

Kehadiran pemain kacukan baharu ini adalah sebagai satu pelan sokongan kepada skuad senior selepas beberapa pemain utama sedang meniti penghujung karier dan memerlukan pengganti untuk beberapa posisi kritikal.