Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Rahman Azman menegaskan beliau sudahpun memaafkan individu yang menghantar surat layang yang tular di kalangan peminat bola sepak negara baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Kongres FAM ke-60 di Subang Jaya pada Isnin apabila ditanya mengenai surat yang beredar.

Baca Juga:

Dalam surat tersebut, si penghantar banyak menyenaraikan salah laku yang menurutnya dilakukan oleh Azman dan meminta agar beliau dilucutkan jawatan sebagai setiausaha agung badan itu.

“Dalam bulan ramadan ini, apatah lagi 10 malam terakhir, satu perkara sahaja yang saya mahu sebut iaitu memaafkan segala fitnah yang dilontarkan kepada saya.

“Saya risau kalau dia kemalangan, meninggal dunia dan tak sempat untuk meminta maaf kepada saya,” kata Noor Azman.

Pada masa yang sama, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin turut menegaskan surat tersebut sebagai satu fitnah dan tohmahan semata-mata selain datang daripada pihak yang mempunyai rasa tidak puas hati dengan kepimpinan tertinggi FAM.

Oleh itu, Datuk Hamidin menegaskan pihaknya akan melakukan siasatan dalaman bagi mencari sumber ataupun individu yang menghantar surat tersebut.

“Kalau surat seperti ini dihantar setiap masa, letih juga kita nak melayan. Kami telah bersetuju untuk melakukan siasatan dan mencari punca dari mana dan siapa yang menghantar email ini.

“Sekiranya ada staf FAM yang terlibat, maka kita akan mengambil tindakan terhadap beliau.

“Saya sedih surat layang itu datang pada 10 malam terakhir Ramadan tapi kita kena tabah untuk menghadapinya. Kita tahu apabila surat layang ini keluar, netizen akan terus menghukum.

“Kalau anda semua boleh lihat dan nilai sama ada dia ada niat baik atau tidak baik untuk bola sepak negara. Kalau macam ini susah kita nak pergi Piala Dunia,” katanya.