Kumpulan penyokong setia skuad Harimau Malaya iaitu Ultras Malaya menafikan sebarang dakwaan yang menyatakan mereka telah mengambil sebarang ‘pakej subsidi’ bagi menyaksikan perlawanan Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari tahun depan.

Difahamkan lebih 150 komrad Ultras Malaya akan terbang ke sana dan mereka semua menggunakan wang sendiri membeli tiket penerbangan serta sudah ada tempat penginapan sepanjang berada di Qatar.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Sebelum ini, Program ‘Road To Doha’ yang bermula pada 21 Oktober lepas telah menawarkan pakej serta tiket penerbangan pergi balik ke Doha untuk semua penyokong yang berminat dengan harga pakej bermula dari RM1,800 ++ hingga ke RM13,000 ++.

Namun, Ultras Malaya dalam satu kenyataan hari ini menegaskan mereka tidak terlibat dalam mana-mana program yang ‘menunggang’ pergerakan kumpulan itu untuk kepentingan peribadi.

“Ultras Malaya (UM) tidak terlibat dalam mana² bentuk perjanjian atau kerjasama bersifat menunggang pergerakan demi kepentingan peribadi pihak tertentu.

“Tiada sebarang perbincangan untuk mewakilkan individu hadir ke sidang media, muzik video atau persembahan showcase. Lebih lagi jika ia ditunggang bagi promosi & jualan yg menguntungkan sesetengah pihak.

“Ini jelas tidak mencerminkan prinsip & ideologi pergerakan Ultras Malaya,” tulis kenyataan tersebut di laman X.

Capo Ultras Malaya (UM), Lekir Hj. Ahmad sebelum ini berkata beliau dan komradnya akan terbang ke Doha, Qatar tanpa mengambil sebarang pakej ‘Road To Doha’.

Namun, mana-mana penyokong lain yang ingin ke Qatar boleh mengambil pakej ini kerana ia akan memudahkan urusan mereka di sana nanti.

“Untuk pengetahuan semua, Ultras Malaya secara rasminya tidak terlibat dalam rombongan ini (Pakej Road To Doha). Kami akan gerak sendiri sebab kami ada buat kira-kira sendiri.

“Kami sudah memutuskan akan bergerak sendiri. Mungkin dia akan buang kos sedikit di sana, mungkin dengan rakan, apa jua rancangan.

“Jadi rombongan ini (Pakej Road To Doha) adalah rombongan terbuka dimana sesiapa sahaja boleh sertainya walaupun dia penyokong neutral dan sebahagian daripada Ultras Malaya sekalipun tapi kalau dia buat keputusan sendiri untuk sertai pakej rombongan ini tidak mengapa tetapi secara rasminya Ultras Malaya tidak terlibat dengan rombongan ini,” jelas Lekir.