Era baharu skuad Harimau Malaya telah dilancarkan secara rasmi hari ini dengan PUMA Malaysia dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memeterai perjanjian kerjasama empat tahun.
Detik yang cukup penting melibatkan kedua-dua pihak itu disempurnakan pada majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di PUMA Flagship Store di Sunway Pyramid, pagi tadi.
Baca Juga:
- Gabungan Inovasi Dan Tradisi Lambang Era Baharu PUMA, Portugal
- PUMA Orbita MFL 1 Kekal Bola Rasmi Liga Malaysia 2024-2025
- Puma Tamatkan Kerjasama Dengan Skuad Kebangsaan Israel
Kerjasama ini mengukuhkan peranan PUMA sebagai rakan pakaian rasmi Harimau Malaya dan memperhebatkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk memajukan bola sepak di Malaysia.
Pelan untuk meningkatkan prestasi pemain melalui produk termaju, penglibatan komuniti, dan mengukuhkan asas sukan ini telah diumumkan, sekali gus menampakkan kepentingan kerjasama ini dan impaknya terhadap bola sepak Malaysia.
Jersi Harimau Malaya x PUMA
Kemuncak majlis ini ialah pelancaran Jersi Rasmi Home dan Away Harimau Malaya tajaan PUMA yang direka dengan warna kebangsaan ikonik pasukan iaitu kuning dan hitam bagi melambangkan kebanggaan dan daya tahan.
Kit baharu skuad kebangsaan Malaysia itu menampilkan teknologi ULTRAWEAVE revolusioner PUMA dan direka bentuk untuk memberikan keselesaan ringan, fleksibiliti serta ketahanan bagi membolehkan pemain beraksi pada tahap tertinggi, sama ada di gelanggang tempatan atau pentas global.
“Kerjasama dengan FAM ini menandakan satu peristiwa penting bagi PUMA kerana kami dapat mengembangkan kehadiran kami dalam bola sepak Malaysia,” kata Sanjay Roy, Pengarah Urusan PUMA Asia Tenggara & Oceania.
“Kami berdedikasi untuk melengkapkan Harimau Malaya dengan produk inovatif yang memperkasakan mereka untuk mencapai matlamat sambil meraikan kuasa sukan ini untuk bersatu dan memberikan inspirasi.”
Selain membantu pemain di atas padang, kerjasama ini memberi penekanan dalam mendekatkan sukan ini kepada orang ramai.
Melalui inisiatif yang dipacu komuniti, program penglibatan peminat yang eksklusif, dan aktiviti yang meraikan semangat Harimau Malaya, PUMA dan FAM berhasrat untuk mengeratkan hubungan di antara pasukan dan para penyokong.
Usaha ini akan meningkatkan pengalaman bola sepak, menyatukan peminat dan pemain dalam berkongsi keghairahan mereka terhadap sukan ini.
“Kerjasama dengan PUMA ini menandakan satu lembaran baharu dan menarik untuk bola sepak Malaysia,” kata Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin, Presiden FAM.
“Kepakaran mereka dalam inovasi pakaian sukan dan pengiktirafan global bukan sahaja akan menyediakan pemain kita dengan peralatan yang mereka perlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi tetapi juga membantu memupuk hubungan yang lebih mendalam di antara pasukan dan para penyokong.”
“Bersama-sama, kita menyasarkan untuk mencipta budaya bola sepak yang lebih bertenaga di Malaysia, memberi inspirasi kepada kedua-dua pemain dan peminat sambil kita meningkatkan sukan ini ke tahap yang lebih tinggi.”
Koleksi FAM x PUMA edisi terhad kini boleh dibeli dengan harga bermula dari RM89 hingga RM319 di kedai PUMA terpilih di seluruh negara, menawarkan peluang kepada peminat untuk mempamerkan sokongan mereka terhadap Harimau Malaya dan jenama PUMA.
Majlis pagi tadi dihadiri Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin, Presiden FAM, Sanjay Roy, Pengarah Urusan PUMA Asia Tenggara & Oceania, dan Steven Tan, Pengurus Negara PUMA Malaysia, disusuli dengan sesi sidang akhbar eksklusif.