Hap Seng Consolidated Bhd telah mengubahsuai bekas bangunan ‘Wisma KFC’ di Jalan Sultan Ismail menjadi hotel mewah yang dikenali sebagai Hyatt Centric City Centre Kuala Lumpur.
Pengubahsuaian itu empat tahun selepas Hap Seng membeli hartanah itu daripada Royal Group Singapura dengan harga yang dilaporkan bernilai RM190 juta.
Memetik laporan Business Times, Manfred Weber, pengarah pengurusan hartanah di Hap Seng Land Sdn Bhd, menyifatkan transformasi Wisma KFC daripada kompleks pejabat kepada aset hospitaliti yang direka bentuk unik.
“Transformasi ini adalah contoh mencipta aset hospitaliti unik yang menambah nilai kepada kawasan itu dan melengkapkan pembangunan sedia ada kami,” katanya kepada Business Times.
Wisma KFC berkhidmat sebagai ibu pejabat KFC Holdings (Malaysia) Bhd. Dibina pada 1990-an, ia merangkumi keluasan lantai kasar 342,145 kaki persegi di atas plot pegangan bebas seluas 0.5 ekar.
Anak syarikat Royal Group, Expert Rewards Sdn Bhd, telah memperoleh hartanah itu pada harga RM130 juta daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk digunakan semula sebagai sebuah hotel mewah.
Hap Seng kemudiannya membeli aset itu melalui anak syarikatnya Sunrise Spring Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada pengembangan strategiknya ke dalam sektor perhotelan.
Hotel itu merupakan hartanah Hyatt Centric kedua di Malaysia, berikutan lokasi sulungnya di Kota Kinabalu, Sabah.