Terkini, Perodua tampil jelaskan isu hangat mengenai dokumen Terma & Syarat perkhidmatan ‘Battery as a Service’ (BaaS) yang heboh di media sosial baru-baru ini.
Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, memaklumkan kekeliruan itu berpunca daripada salah faham komunikasi dalaman syarikat, terutamanya yang melibatkan klausa ‘patuh syariah’.
Jadi, isu yang tular tu hanyalah disebabkan kesalahan dalaman Perodua.
“Kami tidak berniat untuk mengenakan syarat patuh syariah kepada pelanggan semasa menggunakan kenderaan kami,” ujar beliau.
Oleh itu, Perodua juga memaklumkan bahawa dokumen terma dan syarat yang betul sudah dilampirkan bersama kenyataan rasmi mereka. Jadi, semua orang boleh lihat dan rujuk dokumen sebenar.
Pada masa yang sama, syarikat itu juga menegaskan bahawa penyewaan bateri kepada pelanggan dilakukan menggunakan konsep Ijarah Beroperasi, iaitu satu cara urus niaga sewa yang mematuhi prinsip Syariah.
“Perodua sebagai pemilik bateri, menyewakan bateri tersebut kepada anda dengan kadar sewa yang dipersetujui sepanjang tempoh sewa yang ditetapkan.
“Hak milik bateri tetap berada di bawah Perodua, manakala anda hanya mempunyai hak penggunaan (usufruct) bateri tersebut.
“Pada akhir tempoh sewa, anda boleh memulangkan bateri kepada Perodua atau melanjutkan tempoh sewa bateri untuk tempoh kedua,” ujar syarikat itu lagi.