Perodua mengumumkan struktur harga terbaharu bagi model kenderaan elektrik (EV) tempatan pertama, Perodua QV-E.

Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memacu mobiliti mampan yang mampu dimiliki oleh seluruh rakyat Malaysia.

Melalui pengenalan pelan Battery-as-a-Service (BaaS), Perodua QV-E kini boleh dimiliki pada harga pengenalan serendah RM63,499*, dengan kadar pajakan bateri komprehensif sebanyak RM215 sebulan.

Bagi pelanggan yang memilih pemilikan penuh (outright purchase), model ini ditawarkan pada harga RM87,499* sepanjang tempoh promosi.

Strategi Lokalisasi Mengukuhkan Ekosistem Automotif Tempatan

Penetapan harga yang lebih kompetitif ini berjaya direalisasikan hasil daripada pelan lokalisasi berskala besar yang dilaksanakan oleh Perodua bersama vendor-vendor tempatan.

Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengeluaran kenderaan elektrik bateri (BEV) pertama Perodua tersebut, malah kini telah mencecah kadar pengeluaran melebihi 500 unit sebulan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad menyatakan bahawa keupayaan menghasilkan komponen secara domestik adalah kritikal bagi mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan luar negara.

“Perodua dan para vendor tempatan telah berjaya mengeluarkan sejumlah besar komponen secara domestik. Langkah ini amat penting bagi melindungi peluang pekerjaan tempatan, di samping memastikan rantaian bekalan alat ganti — terutamanya komponen badan kenderaan — sentiasa mampan dan sedia ada demi kemudahan para pelanggan,” ujar beliau.

Pelan Harga Struktur Baharu dan Insentif Kos Sara Hidup

Sebagai respons kepada peningkatan kos sara hidup semasa, Perodua menawarkan harga istimewa bagi tempoh terhad yang akan berakhir pada 30 September 2026.

Berikut adalah perbandingan struktur harga rasmi dan harga tawaran terhad Perodua QV-E:

Harga Rasmi Pemilikan Penuh (Outright) – RM93,999
Harga Tawaran Terhad – RM87,499

Harga Rasmi Pelan BaaS (Badan Kenderaan Sahaja) – RM69,999
Harga Tawaran Terhad – RM63,499

Kadar Pajakan Bateri BaaS (9 Tahun) – RM215 / bulan (termasuk cukai)
Harga Tawaran Terhad – RM215 / bulan (termasuk cukai)

Pelan BaaS yang diperkenalkan ini bertujuan memberikan ketenangan minda (peace of mind) kepada pemilik.

Melalui pakej ini, Perodua bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pengurusan bateri sepanjang tempoh pajakan 9 tahun, merangkumi perlindungan perlindungan komprehensif, penyelenggaraan, pelupusan, penggantian, serta insurans bateri. Bagi kaedah pemilikan penuh, Perodua turut menawarkan jaminan untuk membeli semula bateri tersebut apabila tiba masa untuk dilupuskan.

Kebajikan Pelanggan Sedia Ada Terus Dipelihara

Perodua turut mengumumkan bahawa pelanggan sedia ada model QV-E bakal menerima reman khas (refund) sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka. Penasihat jualan berdaftar akan menghubungi para pelanggan terlibat dalam masa terdekat.

Di samping itu, kadar yuran bulanan BaaS bagi pemilik sedia ada akan diturunkan secara automatik daripada RM275 kepada RM215 sebulan, berkuat kuasa pada kitaran pembayaran yang seterusnya.