Pada hari semalam sebuah pesawat Singapore Airlines (SIA) telah melakukan pendaratan cemas di Bangkok selepas mengalami gelora udara melampau semasa berada di ruang udara Myanmar.
Memetik laporan Sinar Harian, terdapat 16 warga Malaysia dalam penerbangan SQ321 dari London ke Singapura.
Salah seorang penumpang warga Malaysia, Dzafran Azmir, 28 tahun berkongsi kepada portal mStar pengalaman dia mengharungi insiden yang sangat mengerikan itu.
“Pesawat menjunam secara tiba-tiba sehingga mereka yang duduk dan tidak memakai tali pinggang keledar tercampak (melambung) ke bahagian siling pesawat.
“Ada yang terhantuk kepala di kabin bagasi sehingga bahagian itu kemek. Mereka turut tercampak ke ruang-ruang lain, terdapat lampu serta topeng oksigen terkeluar dan pecah.
“Telefon bimbit saya terlepas jauh dari genggaman dengan barangan lain seperti kasut turut berselerak akibat gangguan itu,” katanya.
Menurut pelajar itu, kejadian itu berlaku kira-kira tiga jam sebelum pesawat mendarat di Singapura yang mana dia sempat merasakan pesawat tidak stabil sebelum mula berlaku gegaran melampau.
Tambahnya lagi, kru dan individu yang berada dalam tandas antara yang paling terkesan dalam insiden terbabit.
“Kru dan individu yang berada di dalam tandas merupakan mereka yang paling terkesan kerana setelah pendaratan dibuat, kami dapati mereka tidak dapat bangun, ramai yang cedera di kepala dan tulang belakang.
“Kapten memaklumkan penumpang yang dia melakukan pendaratan kecemasan di Bangkok. Sebaik pesawat tiba di landasan, jururawat dan penyelamat datang untuk memeriksa dan memberikan bantuan kepada mangsa yang cedera,” katanya.
Sementara itu, menerusi kemas kini media sosial Singapore Airlines memberitahu bahawa sebuah penerbangan bantuan dengan 143 daripada penumpang dan anak kapal SQ321, yang dapat melakukan perjalanan, tiba di Singapura pagi ini pada 5.05 pagi (Waktu Singapura).
Manakala 79 lagi penumpang dan enam anak kapal dari SQ321 kekal di Bangkok. Ini termasuk mereka yang menerima rawatan perubatan, serta ahli keluarga.