Peter Cklamovski berkongsi sebab utama mengapa beliau bersetuju untuk menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia yang baharu.
Peter Cklamovski hadir ketika majlis pelancaran jersi pasukan kebangsaan baharu oleh Puma di Sunway Pyramid baru-baru ini sekaligus bertemu pengamal media buat pertama kali.
Baca Juga:
- ‘Bak Bumi Dan Langit’ – Media Indonesia Bandingkan Shin Tae-yong Dan Peter Cklamovski
- Peter Cklamovski, Nafuzi Zain Dilantik Sebagai Ketua Jurulatih Baharu Malaysia
- Peter Cklamovski Calon Utama Ketua Jurulatih Malaysia
Menurut jurulatih kelahiran Australia itu, beliau mengagumi usaha Tunku Mahkota Ismail yang mahu mengangkat kualiti pasukan kebangsaan.
“Saya kagum dengan TMJ. Dia mempunyai kuasa, integriti, semangat dan kepercayaan untuk mencapai sesuatu untuk sukan ini.
“Untuk mencapai itu, kita perlu bekerja keras, bekerja bersama-sama dan kita perlu kekal merendah diri. Kita perlu sedar di mana kita berada sekarang, hari ini. Kita perlu tahu bahawa kita mempunyai banyak kerja untuk dilakukan, langkah demi langkah langkah.
“Kami mahu membina pasukan negara ini ke arah yang betul,” katanya.
Selain Peter Cklamovski, revolusi pasukan kebangsaan turut melibatkan Nafuzi Zain yang dilantik sebagai ketua jurulatih skuad B-23 Tahun negara.
Tidak cukup dengan dua jurulatih ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut melantik Rob Friend dari Kanada sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya dan Dr. Craig Duncan dari Australia sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan.
Antara penglibatan terbesar Rob Friend ialah menjadi salah seorang pengasas bersama liga bola sepak profesional Kanada, Canadian Premier League (CPL) dan berjaya meningkatkan nilai liga tersebut dari AS$0 sehingga AS$300 juta dalam tempoh enam tahun.
Rob juga pernah menerajui kepimpinan tertinggi pengurusan dan pentadbiran dua kelab yang beraksi di CPL iaitu sebagai CEO dan pengasas bersama Pacific FC dari 2019 hingga 2022 serta sebagai Presiden dan pengasas bersama Vancouver FC dari 2022 hingga kini.
Dr. Craig pula merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Performance Intelligence Agency selama 15 tahun sejak dari 2009 hingga kini yang mana beliau turut pernah menjadi Ketua Sains Sukan di Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) selama empat tahun dari 2014 hingga 2018.
Selain itu, Dr. Craig turut merupakan Pensyarah Kanan Senaman dan Sains Sukan di Australian Catholic University (ACU) sejak 2013 hingga kini yang mana beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Sukan dan Senaman dari University of Sydney dan Ijazah Sarjana Kepimpinan dari Deakin University.