Pernahkah anda terfikir, jenama apakah yang paling ‘mahal’ dan bernilai di Malaysia pada hari ini? Walaupun ekonomi global sering berdepan dengan pelbagai ketidaktentuan, 100 jenama teratas di Malaysia telah membuktikan bahawa mereka cukup kebal!

Menurut laporan Malaysia 100 2026 oleh perunding penilaian jenama terkemuka, Brand Finance, nilai keseluruhan jenama-jenama elit kita telah meningkat sebanyak 5% kepada paras USD62.2 bilion pada tahun 2026.

Hebat, kan? Jom kita selami antara jenama kebanggaan negara yang berjaya mencuri tumpuan.

Takhta Emas Masih Milik PETRONAS

Sebut sahaja PETRONAS, pastinya ia sinonim dengan kejayaan negara. Untuk tahun ke-16 berturut-turut, gergasi tenaga nasional ini cemerlang mengekalkan takhtanya sebagai jenama paling bernilai di Malaysia.

Walaupun berdepan sedikit penyusutan nilai jenama sebanyak 4% kepada USD13.8 bilion (~RM56.07 bilion) kesan daripada kejatuhan harga tenaga global, PETRONAS kekal teguh. Rahsianya? Mereka komited dengan pengembangan operasi, mempunyai asas yang stabil, serta terus melabur dalam inisiatif peralihan tenaga untuk jangka masa panjang.

PETRONAS Kekal Juara, Kenali Jenama Paling Bernilai Malaysia 2026
Sumber Gambar: Brand FInance

Genting dan Maybank Mengekori Rapat

Di kedudukan kedua, kita ada Kumpulan Genting. Nilai jenama empayar perhotelan dan riadah ini melonjak naik sebanyak 23% kepada USD6 bilion.

Malah, Genting turut dinobatkan sebagai jenama paling kukuh di Malaysia secara keseluruhannya apabila berjaya meraih skor Brand Strength Index (BSI) 92.1 berserta penarafan tertinggi, AAA+.

Maybank pula duduk selesa di tangga ketiga dengan nilai jenama meningkat 4% kepada USD5.4 bilion hasil daripada pengurusan kos yang cekap dan pertumbuhan pendapatan yang stabil di pasaran ASEAN.

Kebangkitan Luar Biasa 100PLUS dan Rakan-Rakan

PETRONAS Kekal Juara, Kenali Jenama Paling Bernilai Malaysia 2026
Sumber Gambar: Marketing interactive

Jenama minuman kegemaran ramai, 100PLUS telah mencipta kejutan besar apabila muncul sebagai jenama paling pantas berkembang di Malaysia tahun ini, dengan lonjakan nilai yang sangat mengagumkan iaitu sebanyak 166% kepada USD190 juta ~(~RM777 juta).

Selain itu, seiring dengan kerancakan sektor maritim dan logistik, syarikat seperti Westports dan MISC turut diangkat sebagai “Jenama Tumpuan” (Brands to Watch) yang dijangka terus melakar kejayaan besar di masa hadapan.

Apa Kata Pakar Industri?

PETRONAS Kekal Juara, Kenali Jenama Paling Bernilai Malaysia 2026
Sumber Gambar: Linkedin

Alex Haigh, Pengarah Urusan Asia Pasifik di Brand Finance, turut menyatakan kekaguman beliau terhadap ketahanan jenama-jenama tempatan kita.

“Juara nasional seperti PETRONAS, Maybank, Tenaga Nasional, dan Proton sememangnya kekal sebagai asas landskap jenama negara,” ulas beliau dengan penuh optimis.

Beliau turut menambah, “Memandangkan Malaysia kini rancak mempercepatkan pelaburan ke dalam teknologi, peralihan tenaga, dan integrasi perdagangan serantau, situasi ini memberi kelebihan buat jenama Malaysia untuk terus mengukuhkan daya saing mereka sama ada di peringkat serantau mahupun global.”.

Bukan Sekadar Keuntungan, ESG (Kelestarian) Pun Diutamakan!

Perniagaan pada zaman moden ini bukan hanya sekadar untuk mengaut keuntungan, tetapi juga tentang bagaimana mereka menjaga alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat (ESG).

Dalam aspek ini, PETRONAS sekali lagi mendahului senarai dengan mencatatkan Nilai Persepsi Kelestarian tertinggi yang mencecah USD1.3 bilion.

Bukan itu sahaja, Tenaga Nasional turut dipuji untuk inisiatif alam sekitarnya, Maybank cemerlang dalam memberikan impak sosial yang positif, manakala Dutch Lady tampil unggul dengan amalan tadbir urus dan ketelusan yang mantap.

Kesimpulannya, jenama tempatan kita sememangnya bertaraf dunia. Dengan strategi yang inovatif, produk berkualiti, serta ketahanan luar biasa, jenama-jenama Malaysia bersedia untuk terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa!