Pada aksi pembukaan musim 2025/26 Liga Juara-Juara Eropah pengawal keselamatan stadium Bernabeu dilaporkan telah menghalang penyokong Marseille daripada membawa bendera Palestin masuk ke dalam stadium.

Penyokong itu diarahkan membuang bendera Palestin itu ke dalam tong sampah, barulah dia dibenarkan masuk. Video tersebut tular.

Video lain turut menunjukkan petugas keselamatan di laluan berasingan turut membuat tindakan sama.

Wartawan segera bertanya kepada Tebas, adakah, La Liga yang melarang mana mana kelabnya mengibarkan bendera Palestin?

Ini kerana di San Mames, penyokong Athletic Bilbao bebas mengibarkan bendera Palestin sebagai solidariti.

Menurut Tebas, La Liga tidak pernah melarang mana mana kelabnya daripada mengibarkan bendera Palestin sebagai simbol solidariti kemanusiaan.

Lantas Tebas mengesahkan bahawa, insiden di Bernabeu adalah atas polisi tegas yang ditetapkan Real Madrid dan UEFA sendiri yang menekankan “tidak ada sebarang unsur politik” di dalam stadium.

Sejak 2023, protes pro-Palestin sering muncul di stadium – dari kain rentang di Parc des Princes hinggalah sorakan di Bundesliga.

UEFA berdepan cabaran besar dalam mengekalkan imej “neutral”. Sejak perang Gaza tercetus pada Oktober 2023 yang meragut lebih 41,000 nyawa Palestin, stadium bola sepak di Eropah semakin kerap menjadi ruang protes dan solidariti.

Sebelum ini beberapa kelab seperti Celtic dihukum kerana penyokong mengibarkan bendera Palestin.

Di Bilbao, penyokong Athletic tanpa segan silu membentangkan kain rentang pro-Palestin. Tiada tindakan daripada pihak keselamatan stadium, seolah-olah meraikan sejarah panjang masyarakat Basque yang terkenal dengan semangat politik dan aktivisme.

UEFA juga setakat ini dilihat tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang apa yang berlaku di San Mames. Dan petugas stadium di San Mames membenarkan bendera Palestin dibawa masuk.

Tetapi berbeza di Bernabeu, petugas stadium didakwa melaksanakan polisi ditetapkan UEFA dan Real Madrid  untuk melarang bendera Palestin daripada dibawa masuk.

Tebas menjelaskan bahawa, La Liga tiada kaitan dengan polisi larangan bendera Palestin di Bernabeu.

Tebas berkata: “Tidak ada, La Liga tidak akan mengharamkan bendera Palestin,  asalkan kibaran bendera itu masih dalam tertib yang ditetapkan dan tidak mengganggu acara bola sepak yang berlangsung, maka La Liga benarkan.

“Apa yang berlaku di Gaza adalah sangat sukar dan kejam.”