Sabah gagal meneruskan kemaraan dalam saingan Piala AFC 2023/24 selepas tewas ditangan Macarthur FC 0-3 pada aksi Separuh Akhir Zon Asia Tenggara (ASEAN) yang berlangsung di Campbelltown Stadium, sebentar tadi.

Berdepan lawan yang ketika ini berada di tangga ketiga A-League (Australia) jelas membuatkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu berdepan kesukaran sepanjang perlawanan.

Baca Juga:

Sabah bagaimanapun bermula dengan baik apabila Daniel Ting mendapat peluang dihadapan pintu gol setelah menerima hantaran lintang Ko Kwang-min seawal minit kedua.

Namun, tolakan cuba dilakukan pemain skuad negara itu lemah dan tersasar di sebelah kanan pintu gol Macarthur FC yang dikawal Filip Kurto.

Pemain import Sabah, Ramon Machado turut menguji gawang Macarthur pada minit ke-30 tetapi rembatannya hasil gerakan solo hanya sedikit melewati palang gol.

Jaringan yang dinantikan penyokong tuan rumah hadir berselang 10 minit kemudian apabila hantaran ‘cutback’ daripada Jed Drew disudahkan dengan baik ketua pasukan, Ulises Davila.

Hanya selepasĀ  25 saat aksi babak kedua bersambung, Drew melakukan gerakan solo yang menewaskan Daniel Ting serta Gabriel Peres dalam kawasan penalti dan kemudiannya melakukan percubaan cantik menewaskan Khairul Fahmi Che Mat bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Ramon hampir merapatkan jurang seminit kemudian tetapi jaringannya menerusi tandukan dibatalkan kerana beliau dilihat berada dalam kedudukan ofsaid.

Memasuki minit ke-80, Drew yang menerima hantaran Bernardo, melakukan percubaan ‘placing’ untuk sekali lagi mengecewakan Khairul Fahmi.

Kedudukan 3-0 itu kekal hingga tamat permainan sekali gus membawa wakil Australia itu ke perlawanan akhir zon ASEAN.