Pengendali skuad Indonesia, Shin Tae-yong tanpa berselindung meluahkan rasa malunya melihat aksi yang ditampilkan pemain Indonesia ketika seri 3-3 bertemu Laos dalam aksi kedua Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024, malam tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadion Manahan, Surakarta itu, Indonesia tersentak seawal minit kesembilan menerusi jaringan Phousomboun Panyavong tetapi Kedel Arel menyamakan kedudukan pada minit ke-12.

Baca Juga:

Seminit kemudian, Phathana Phommathep kembali memberikan kelebihan buat pasukan pelawat. Muhammad Ferrari menjadikan kedudukan 2-2 hanya berselang lima minit kemudian.

Ferrari kemudiannya meletakkan Indonesia dihadapan pada minit ke-72, tetapi kelebihan itu hanya bertahan lima minit selepas Peter Phanthavong menjaringkan gol penyamaan.

Kedudukan 3-3 itu kekal hingga tamat permainan yang mana menyaksikan bintang Indonesia, Marselino Ferdinan dilayangkan kad merah pada minit ke-69.

Melihatkan kepada apa yang telah dipamerkan anak buahnya, Shin Tae-yong jelas tidak berpuas hati dengan prestasi barisan pemain Indonesia.

“Kedua-dua pasukan sudah berusaha untuk mempamerkan aksi terbaik. Tetapi kami terlalu banyak melakukan kesilapan, terutamanya dalam aspek hantaran hingga membuatkan kami dibolosi banyak gol.”

“Saya sangat kesal dan malu kerana kesilapan yang kami lakukan. Saya memohon maaf kepada peminat Indonesia, terutamanya yang hadir di [Stadion] Manahan,” ujar Shin Tae-yong menurut sumber laporan Goal Indonesia.

Selepas dua perlawanan, Indonesia di tangga teratas dengan empat mata tetapi pencabar terdekat mereka iaitu Vietnam dan Filipina masih kekurangan satu perlawanan.

Indonesia akan berkunjung ke Phu Tho untuk menghadapi Vietnam dalam aksi ketiga kumpulan B pada 15 Disember ini.