Thailand melangkah ke final Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 selepas menewaskan Filipina 3-1 pada aksi separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok sebentar tadi.

Kejayaan di laman sendiri itu memastikan Thailand mara dengan agregat 4-3 dimana skuad kendalian Masatada Ishii itu tewas 1-2 pada aksi pertama di Manila.

Baca Juga:

Beraksi dihadapan puluhan ribu penyokong setia, Thailand bagaimanapun hampir tersentak pada minit ke-16 berikutan kesilapan penjaga gol, Patiwat Khammai.

Patiwat melakukan kesilapan hantaran di kawasan sendiri hingga memboleh Filipina menekan kubu mereka, namun mujur percubaan Jarvey Gayoso dalam kawasan penalti sedikit lemah dan diselamatkan Pansa Hemviboon untuk mengeluarkan bola bagi menyelamatkan keadaan.

Tersentak dengan tekanan tersebut, Thailand tampil dengan lebih baik mencipta deretan peluang untuk membuka tirai jaringan.

Usaha Thailand membuahkan hasil pada minit ke-37 selepas percubaan jarak dekat Peeradol Chamratsamee setelah menerima hantaran Seksan Ratree berjaya menewaskan penjaga gol Filipina, Quincy Kammeraad.

Jaringan itu jelas meningkatkan moral barisan pemain Thailand untuk memburu jaringan kedua terutamanya menerusi percubaan Supachok Sarachat pada minit ke-42.

Namun, percubaan padu diledakkannya ketika Kammeraad sudah pun tertewas sekadar singgah di palang gol.

Gol kedua skuad Gajah Perang itu hadir pada minit ke-54 selepas Patrik Gustavsson melepasi perangkap ofsais setelah menerima lorongan cantik Weerathep Pomphan lalu menolak masuk bola untuk sekali lagi menggamatkan stadium.

Enggan menyerah kalah, anak-anak buah Albert Capellas mengubah corak permainan untuk lebih mendominasi yang jelas dapat mengkucar-kacirkan jentera pertahanan Thailand.

Jaringan yang dinantikan The Azkals menjelma pada minit ke-84 selepas percubaan rendah dari jarak jauh oleh pemain gantian, Bjorn Martin Kristensen tidak mampu diselamatkan Patiwat untuk kedudukan agregat kembali terikat.

Filipina kemudiannya hampir mendapatkan jaringan kemenangan pada masa kecederaan, tetapi tiga percubaan berturut-turut oleh Amani Aguinaldo dan Gayaso dinafikan Patiwat untuk aksi berlanjutan ke masa tambahan 30 minit.

Tandukan Suphanat Mueanta pada minit ke-116 selepas menerima hantaran lintang Worachit Kanitsribumphen akhirnya membawa Thailand ke pentas final untuk berhadapan dengan Vietnam.