Malaysia berada satu kumpulan bersama-sama juara bertahan, Thailand dalam saingan Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 yang dijadualkan berlangsung pada November nanti.
Selain Thailand, undian yang diadakan di Hanoi sebentar tadi menyaksikan Singapura, Kemboja dan pemenang pusingan kelayakan antara Brunei Darussalam dan Timor-Leste akan turut berada dalam kumpulan A.
Kumpulan B pula membariskan Vietnam akan bersama-sama dengan Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos.
Berdasarkan undian dan penilaian di atas kertas, Thailand serta Malaysia dijangka tidak terlalu berdepan masalah untuk melepasi peringkat kumpulan.
Kesempatan yang perlu digunakan sepenuhnya oleh anak-anak buah Kim Pan-gon untuk menjelmakan aksi serta meraih keputusan lebih baik kali ini.
Bagi kumpulan B sudah pastinya Vietnam dan Indonesia diletakkan sebagai pilihan.
Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 merupakan kejohanan edisi ke-15 dan akan diadakan bermula 23 November hingga 21 Disember.
Thailand muncul pemenang terbanyak dalam sejarah pertandingan yang sebelum ini turut dikenali sebagai Piala AFF itu dengan tujuh kali kejuaraan iaitu pada 1996, 2000, 2002, 2014, 2016, 2020 dan 2022.
Edisi lalu menyaksikan Thailand yang ketika itu dikendalikan Mano Polking berjaya menundukkan Vietnam 3-2 secara agregat.
Sementara itu, Malaysia dan Indonesia menjadi dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir.
Singapura memenanginya sebanyak empat kali (1998, 2004, 2007 dan 2012) dan Vietnam mengekori dengan dua kejuaraan (2008 dan 2018). Manakala, Malaysia muncul juara edisi 2010 ketika skuad Harimau Malaya dibimbing Datuk K. Rajagopal.