Juara bertahan dan tuan rumah,  Qatar meraih kemenangan kedua dalam aksi peringkat kumpulan Piala Asia 2023 selepas menundukkan Tajikistan 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Al Bayt Stadium, sebentar tadi.

Enam mata yang diraih dalam dua perlawanan tersebut sekali gus membawa skuad kendalian Tintin Marquez itu ke pusingan 16 terbaik. Manakala, Tajikistan pula di tangga ketiga dengan satu mata, terikat dengan Lebanon.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Kemenangan penting yang dilakarkan Qatar itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah kerana Tajikistan turut menyajikan aksi bertenaga sepanjang perlawanan.

Tajikistan yang dibimbing Petar Segrt turut menguasai permainan dengan baik pada peringkat awal permainan dan mendapat peluang terbaik pada minit ke-13.

Peluang itu hadir apabila Rustam Soirov yang melepasi kawalan Jassem Gaber Abdulsallam dalam kawasan penalti lalu meledakkan rembatan.

Namun penjaga gol Qatar, Meshaal Aissa Barsham lebih kental bertahan menghalang gawangnya daripada dibolosi Soirov.

Qatar yang kemudiannya memperkemaskan aksi dengan corak permainan pendek berjaya mendapatkan jaringan pada minit ke-17 menerusi tonggak utama, Akram Afif.

Akram yang mendapat lorongan baik daripada Almoez Ali tidak berdepan masalah untuk menewaskan penjaga gol Tajikistan, Rustam Yatimov.

Memasuki minit ke-43, Almoez pula mendapat peluang di hadapan gol selepas rembatan awal Akram Afif gagal ditangkap kemas oleh Yatimov tetapi percubaan penyerang tersebut dari jarak dekat dinafikan Zoir Dzhuraboev di atas garisan.

Skrip hampir sama berlaku pada peringkat awal babak kedua dengan penguasaan ditampilkan Tajikistan. Keadaan itu turut menyebabkan pertahanan Qatar melakukan kesilapan hantaran ke belakang.

Namun, tolakan Alisher Dzhalilov yang sudah berjaya melepasi Aissa Barsham terlalu laju hingga peluang tersebut gagal disudahkan penyerang tersebut.

Almoez kemudiannya hampir menjadikan kedudukan 2-0 tetapi percubaannya ketika menerima lorongan baik dalam kawasan penalti oleh Akram digagalkan Yatimov.

Usaha Tajikistan untuk terus memberikan tekanan direncatkan dengan layangan kad merah pengadil perlawanan, Hiroyuki Kimura terhadap Amadoni Kamalov pada minit ke-80.

Kelebihan seorang pemain itu cuba digunakan sebaiknya oleh Qatar, namun usaha mereka bagi menambah jaringan tidak berhasil untuk kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan.