Iran nyata sukar digugat Palestin apabila meraih kemenangan selesa 4-1 pada aksi sulung kumpulan C Piala Asia 2023 yang berlangsung di Education City Stadium, Al Rayyan sebentar tadi.

Turun selaku antara pasukan pilihan juara, Iran tampil cukup garang dengan membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi penyerang, Karim Ansarifard.

Baca Juga:

Mendapat lorongan baik dilakukan Saman Ghoddos memberikan ruang yang cukup luas buat Ansarifard untuk melakukan percubaan bagi menewaskan penjaga gol, Rami Hamada.

Penguasaan Iran berterusan selepas pemain pertahanan, Shoja Khalilzadeh yang tidak dikawal pemain Palestin ketika situasi sepakan percuma diambil Ghoddos untuk menolak masuk bola bagi gol kedua perlawanan pada minit ke-12.

Anak buah Amir Ghalenoei itu menambah jaringan ketiga pada minit ke-38 menerusi pemain sayap kiri, Mehdi Ghayedi.

Berpunca daripada umpanan baik Alireza Jahanbakhsh ke sebelah kiri yang menyaksikan Ghayedi tidak dikawal pertahanan lawan, beliau dengan tenang melakukan percubaan leret untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Selesa dengan kelebihan tersebut, Iran bagaimanapun tersentak pada lewat masa kecederaan setelah Tamer Seyam menanduk masuk bola ketika situasi sepakan percuma untuk merapatkan jurang gol.

Namun, penguasaan berterusan yang dijelmakan Iran menyaksikan satu lagi jaringan berjaya dihasilkan pada minit ke-55.

Bermula daripada gerakan lincah bek kanan, Sadegh Moharrami melakukan hantaran lintang yang gagal dikeluarkan barisan pemain pertahanan Palestin, ia membolehkan Sardar Azmoun untuk menyempurnakan peluang terhidang bagi kembali memberikan kelebihan tiga gol buat Iran.

Pemain gantian Palestin, Mohammed Salleh hampir diperintahkan keluar padang pada masa kecederaan kerana mengasari Azmoun. Tetapi, kad merah yang pada mulanya diterima ditarik balik selepas pengadil perlawanan, Ibrahim Al-Jassim Abdulrahman membuat rujukan Video Assistant Referee (VAR) dan beliau hanya menerima kad kuning.

Kedudukan 4-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk meletakkan Iran di tangga teratas kumpulan C manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) di kedudukan kedua juga dengan tiga mata.