Iraq memulakan saingan kumpulan D Piala Asia 2023 dengan nota kemenangan selepas berjaya menundukkan Indonesia 3-1 pada aksi yang berlangsung di Ahmed bin Ali Stadium, Al Rayyan sebentar tadi.

Seperti dijangka, Iraq yang merupakan juara edisi 2007 dilihat mempamerkan aksi lebih tersusun serta mendominasi permainan sejak wisel permulaan ditiupkan pengadil dari Uzbekistan, Ilgiz Tantashev.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Saingan daripada Indonesia bagaimanapun tidak boleh dipandang enteng pasukan ranking ke-63 dunia itu apabila percubaan Marselino Ferdinan seawal minit kelima singgah di palang gol.

Tidak mahu terus diancam lawan, Iraq melancarkan siri serangan berbahaya ke kubu Indonesia hingga membuatkan jentera pertahanan diketuai Jordi Amat dan Elkan Baggot tertekan.

Malah, Amat hampir tertanduk bola ke gawangnya sendiri dalam usaha untuk menyelamatkan keadaan tetapi mujur bola terkena palang pada minit ke-14.

Iraq membuka tirai jaringan berselang tiga minit kemudian menerusi Mohanad Ali yang tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol, Ernando Ari Sutaryadi selepas beliau menerima lorongan baik daripada Ibrahim Bayesh.

Indonesia yang sesekali melakukan serangan berbahaya ke kubu Iraq berjaya menghukum lawan tersebut menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-37.

Berpunca daripada kelincahan Yakob Sayuri melepasi kawalan Merchas Doski, beliau kemudiannya melakukan hantaran lintang yang mudah ditolak masuk Marselino Ferdinan.

Ketika pemain kedua-dua pasukan sedang berkira-kira untuk ke bilik persalinan bagi rehat separuh masa pertama, Osama Rashid kembali meletakkan Iraq dihadapan pada masa kecederaan.

Tepisan awal Ernando susulan percubaan Ali Jassim Elaibi disudahkan dengan tolakan Osama bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Memasuki minit ke-50, Iraq hampir menambah jaringan ketiga tetapi gol Amir Al Marri dibatalkan Video Assistant Referee (VAR) selepas Mohanad Ali berada dalam kedudukan ofsaid.

Kehampaan itu ditebus Aymen Hussein ketika aksi memasuki minit ke-75 selepas hantaran jauh rakan sepasukannya disudahkan dengan voli cantik pemain gantian itu bagi melebarkan kedudukan.

Usaha kedua-dua pasukan untuk menambah jaringan selepas itu tidak membuahkan hasil bagi Iraq keluar sebagai pemenang.