Pemain pertahanan Indonesia, Jordi Amat disahkan mengalami kecederaan patah hidung ketika aksi kedua kumpulan D Piala Asia 2023 jumaat lepas.

Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengalami pendarahan di hidung selepas disiku penyerang Vietnam, Nguyen Van Tun sehingga terpaksa dikeluarkan dan digantikan dengan Rizky Ridho pada minit ke 69.

Baca Juga:

Selepas insiden itu, Jordi Amat terus dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, pengurus pasukan , Sumardi menjelaskan kecederaan itu tidak begitu membimbangkan dan Jordi dijangka akan pulih dalam beberapa hari.

“Hasil ujian MRI tiada apa-apa yang membimbangkan. Hanya perlukan proses rawatan dalam satu dua hari. InsyaAllah akan semakin pulih keadaannya,” kata Sumarji dipetik dalam CNN Indonesia.

Namun begitu, Jordi berharap dapat diturunkan untuk aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Jepun pada hari rabu ini. Beliau sedia memakai pelindung muka sepanjang perlawanan berlangsung.

“Saya harap boleh bermain dengan memakai masker untuk melindungi wajah saya. Memang rasa tidak selesa kerana ia menyakitkan tetapi saya berharap radang dalam hidung hilang dalam beberapa hari,” jelas Jordi Amat.

Khidmat pemain itu dijangka terus ditagih oleh ketua jurulatih, Shin Tae-yong untuk membantu mengekang kemaraan jentera serangan Jepun.

Indonesia kini berpeluang mara ke pusingan 16 Piala Asia 2023 selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Vietnam. Mereka perlu mengelakkan kekalahan dengan jaringan besar ketika menentang Jepun untuk merebut slot tempat ketiga terbaik kumpulan.