Bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali menggesa agar pemain negara yakin dan percaya dengan kemampuan masing-masing dan sentiasa bersikap realistik apabila beraksi di temasya Piala Asia 2023 di Qatar.

Gesaan ini hadir selepas ada beberapa pasukan yang diperkuatkan oleh pemain yang beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan juga Bundesliga.

Baca Juga:

Safee yang pernah memenangi semua kejuaraan yang ditawarkan dalam saingan Liga Malaysia selain beraksi di liga luar negara menggesa pemain agar sentiasa merendah diri.

“Saya rasa mereka (pemain) perlu mempunyai pemikiran bahawa pemain lain juga manusia dan turut mempunyai dua pasang kaki.

“Mereka hanya perlu yakin dengan kemampuan sendiri, beraksi sebagai satu pasukan kerana sekiranya anda yakin dengan kemampuan anda, maka anda boleh mengalahkan siapa sahaja,” kata Safee Sali.

Safee yang kini bergelar sebagai penganalisis Liga Malaysia menyatakan beliau optimis dengan peluang skuad bimbingan Kim Pan-gon yang ketika ini berada di ranking FIFA ke-130 yang akan turun menentang pasukan di top 100.

Menurut beliau, sekiranya layak ke pusingan 16 pasukan terakhir, maka itu adalah bonus namun layak ke Piala Asia secara merit selepas menunggu 43 tahun adalah satu pencapaian yang luar biasa.

“Saya rasa bukan senang untuk kita untuk mara ke peringkat seterusnya dimana kita hanya akan beraksi sekali menentang pasukan lawan, bukan seperti format kelayakan jadi pasukan perlu bersedia untuk menghadapi hari perlawanan.

“Saya gembira kerana pasukan layak secara merit ke Piala Asia dan jika anda tanya saya, sukar untuk ke peringkat seterusnya kerana ranking kita masih lagi jauh berbanding pasukan lain.

“Saya tiada sasaran lain dan sekiranya kita layak ke pusingan seterusnya, itu adalah bonus,” tambah Safee.