Emiriah Arab Bersatu (UAE) membuka saingan kumpulan C Piala Asia 2023 dengan kemenangan selepas berjaya menundukkan Hong Kong 3-1 pada aksi yang berlangsung di Khalifa International Stadium, Doha sebentar tadi.

Berdepan lawan yang berada di kedudukan ranking ke-150 dunia menyaksikan corak permainan tersusun ditampilkan oleh barisan pemain UAE.

Baca Juga:

Dominasi permainan yang ditampilkan anak buah Paulo Bento itu sudah cukup untuk menceritakan tentang perlawanan ini tetapi serangan balas Hong Kong juga kelihatan cukup berbahaya.

Malah, Hong Kong tidak menghiraukan perbezaan ranking yang cukup ketara itu untuk memberikan saingan hebat buat UAE.

Ia jelas dibuktikan apabila pemain sayap Hong Kong, Everton Camargo sering kali memberikan kesukaran buat jentera pertahanan UAE.

Everton beberapa kali menguji gawang UAE tetapi percubaan dijelmakannya dinafikan kekentalan penjaga gol, Khalid Eisa Mohammed Bilal.

Kem UAE melonjak kegembiraan pada minit ke-34 selepas Sultan Adill Alamari menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan selepas pengadil perlawanan, Muhammad Taqi melakukan rujukan Video Assistant Referee (VAR).

Sepakan penalti itu diberikan selepas percubaan Sultan Adill terkena tangan pemain pertahanan Hong Kong, Oliver Gerbig.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Hong Kong mencipta peluang menerusi Matthew Orr tetapi percubaan leret dari luar kawasan penalti oleh penyerang itu hanya tersasar di sebelah kiri pintu gol lawan pada minit ke-37.

Dua minit kemudian, UAE pula terlepas peluang untuk menambah jaringan setelah percubaan jarak jauh Fabio Lima sudah memerangkap penjaga gol Hong Kong, Hung Fai Yapp tetapi bola sekadar singgah di palang gol.

Hong Kong kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-49 selepas hantaran lintang Everton disudahkan dengan baik Phillip Chan Siu Kwanyang berada dalam kawasan penalti.

Kegembiraan anak buah Jorn Andersen itu bagaimanapun hanya mampu bertahan tiga minit apabila bek kanan, Zayed Sultan melakukan percubaan susulan yang membolosi gawang lawan ketika dua rembatan awal Abdallah Ramadan dan Sultan Adill diselamatkan Fai Yapp.

Yahya Alghassani menambah jaringan ketiga buat UAE pada minit ke-95 apabila pemain gantian itu mudah menyempurnakan sepakan penalti.

Hong Kong berupaya mendapatkan jaringan kedua pada saat akhir permainan tetapi gol Micheal Udebuluzor dibatalkan Muhammad Taqi selepas melihat semula rujukan VAR untuk kedudukan 3-1 itu kekal hingga tamat permainan.