Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir mengumumkan pihaknya akan menghantar surat protes kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) susulan kekalahan 0-2 kepada Qatar ketika perlawanan pertama Piala Asia B-23 semalam.

Kekalahan tersebut juga cukup memeritkan kerana Indonesia terpaksa beraksi dengan 9 orang pemain selepas Ivar Jenner dan Ramadhan Sananta dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil Tajikistan, Nasrullo Kabirov.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Baca Juga:

Disebabkan itu, PSSI melakukan protes kepada AFC dan mendakwa pengadil membuat keputusan yang salah.

“Kad merah Ivar, tidak semestinya kad merah. Kita protes!

“Kami akan menghantar surat protes kepada AFC untuk beberapa keputusan dalam perlawanan ini,” tulis Erick Thohir dalam satu kenyataan.

Gol pertama Qatar tiba pada minit ke 45 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Khalid Ali Sabah.

Penalti itu diberikan selepas pengadil memeriksa rakaman VAR yang menunjukkan kapten Indonesia, Rizki Ridho melakukan kekasaran ke atas Mahdi Salem. Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Namun, sebaik sahaja babak kedua bermula, Indonesia dihukum beraksi dengan 10 orang pemain selepas Ivar Jenner diperintah keluar padang apabila melakukan terjahan keras mengenai kaki pemain Qatar.

Kesempatan itu dimanfaatkan tuan rumah yang terus melakukan asakan bertubi-tubi ke arah pintu gol Indonesia. Hasilnya, mereka memperolehi gol kedua menerusi sepakan percuma yang disudahkan oleh Ahmed Al Rawi pada minit ke 54.

Skuad kendalian Shin Tae-yong itu cuba bangkit mencari gol pertama namun mereka buntu menembusi benteng pertahanan Qatar yang cukup berdisiplin.

Usaha mereka terhenti apabila giliran Ramadhan Sananta pula diperintah keluar padang sekaligus menamatkan perlawanan itu dengan kekalahan pertama.