Indonesia terus memperbaiki kedudukan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila naik 8 anak tangga dan berada di 134 dunia pada kemaskini terbaharu bulan April 2024.

Keputusan itu adalah hasil daripada kejayaan mereka menewaskan Vietnam dua kali ketika saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung pada minggu lalu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Malah, Indonesia juga muncul sebagai pasukan paling banyak mengutip mata ranking FIFA di dunia pada bulan Mac apabila mengumpulkan +30.04 mengatasi rekod lama mereka.

Ianya menjadikan jumlah mata keseluruhan yang dikumpulkan oleh Indonesia ialah sebanyak 1102.7 sekaligus memintas kedudukan ranking Malaysia selepas 5 tahun.

Kekalahan kepada Oman ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 menyebabkan Malaysia kehilangan mata sebanyak -15.63 dan turun 6 anak tangga sehingga 138 dunia.

Jumlah mata keseluruhan yang dikumpul oleh skuad Harimau Malaya setakat ini ialah 1094.54 dan kembali semula ke kedudukan keempat ASEAN di belakang Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Indonesia yang dikendalikan oleh Shin Tae Yong mengalami peningkatan prestasi sejak diperkuatkan oleh beberapa pemain naturalisasi yang berkualiti dari kelab luar negara.

Tidak mustahil mereka akan melonjak sehingga berada dalam kelompok 120 dunia jika konsisten mencatat keputusan positif dalam beberapa perlawanan akan datang.

Mereka juga kini mempunyai peluang cerah mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak automatik ke Piala Asia 2027.

Untuk makluman, jumlah mata ranking yang ditawarkan dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia lebih besar daripada aksi persahabatan antarabangsa.