Kejayaan Belgium membelasah New Zealand 5-1 pada aksi terakhir peringkat kumpulan G Piala Dunia 2026 nyata menjadi penutup penuh bergaya buat skuad itu apabila mereka menampilkan aksi menyerang yang cukup berkesan sepanjang perlawanan tersebut.

Lima mata diraih meskipun terikat dengan Mesir yang seri 1-1 ketika bertemu Iran menyaksikan skuad kendalian Rudi Garcia muncul juara kumpulan.

Belgium Tampil Garang, Mesir ‘Berhempas-Pulas’

Sejak wisel permulaan, Belgium jelas menguasai permainan dengan rentak pantas dan hantaran kemas yang menyukarkan barisan pertahanan New Zealand untuk bertahan lama.

Hasilnya, mereka berjaya membuka tirai jaringan menerusi Leandro Trossard pada minit ke-28 selepas pemain Arsenal itu melepaskan percubaan jarak dekat ketika situasi kelam-kabut dalam kawasan penalti lawan.

Trossard kemudiannya menambah gol kedua pada minit ke-50 dan Kevin De Bruyne menjadikan kedudukan 3-0 ketika aksi memasuki minit ke-66.

Elijah Just cuba merapatkan defisit menerusi rembatan padu pada minit ke-84 yang menewaskan Thibaut Courtois tetapi dua minit kemudian, Romelu Lukaku menceriakan kem Belgium.

Pesta jaringan itu ditutup Alexis Saelemaekers pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan 5-1 memihak Belgium.

Sementara itu, Mesir pula layak selaku naib juara dengan penuh dramatik apabila jaringan kemenangan Iran pada masa kecederaan oleh Shojae Khalilzadeh dibatalkan susulan beliau berada dalam keadaan ofsaid.

Mesir terlebih dahulu berada dihadapan selepas percubaan Mahmoud Saber melepasi celah kaki Alireza Beiranvand untuk pada minit kelima.

Tersentak dengan jaringan awal itu, Iran cuba bangkit dan mendapat peluang terbaik pada minit ke-11 menerusi sepakan penalti Mehdi Taremi. Bagaimanapun sepakan penyerang tersebut berjaya diselamatkan penjaga gol Mesir, Mostafa Shobeir.

Kehampaan Iran itu ditebus Ramin Rezaeian yang menyudahkan percubaan susulan untuk kembali mengikat kedudukan pada minit ke-14.

Iran selepas itu tampil garang untuk mendapatkan jaringan terutamanya pada lewat permainan, namun tandukan Taremi dan Saeid Ezatolahi sekadar singgah di palang gol serta jaringan Shojae dibatalkan.

Dengan keputusan tersebut, Iran terpaksa menunggu hingga berakhirnya saingan peringkat kumpulan pada esok sama ada mereka mampu berada dalam kalangan lapan pasukan terbaik yang menduduki tempat ketiga.