Iran bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mengikat New Zealand 2-2 pada aksi kumpulan G Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Los Angeles Stadium sebentar tadi.

Memiliki kelebihan berdasarkan ranking dengan menduduki tangga ke-20 berbanding 85 buat New Zealand, Iran garang menguji gawang lawan seawal minit kelima.

Namun, percubaan Arya Yousefi di sebelah kanan pintu gol New Zealand diselamatkan dengan baik Max Crocombe.

Iran, New Zealand Sama Handal

Iran kemudiannya tersentak berselang dua minit kemudian selepas percubaan separa voli dalam kawasan penalti oleh Elijah Just susulan umpanan Chris Wood meletakkan New Zealand dihadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Iran tampil dengan lebih bertenaga dalam usaha mereka untuk mendapatkan gol yang dinantikan.

Piala Dunia 2026: Iran Bangkit Dua Kali, Ikat New Zealand 2-2
Kredit Foto: Frederic J. Brown / AFP

Usaha mereka hampir membuahkan hasil pada minit ke-23 tetapi percubaan Mehdi Taremi dari luar kawasan penalti sekadar singgah di tiang gol ketika Crocombe sudah pun tertewas.

Kehampaan itu ditebus pada minit ke-32 selepas Ramin Rezaeian menyudahkan dengan baik gerakan yang dimulakan sendiri olehnya dengan kuisan dalam kawasan penalti untuk kembali mengikat kedudukan.

Skuad kendalian Amir Ghalenoei sekali lagi melonjak kegembiraan tetapi tandukan Ali Nemati pada masa kecederaan babak pertama dibatalkan kerana pertahanan tersebut dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Kombinasi Wood dan Just sekali lagi menjadi masalah buat pertahanan Iran selepas penyerang Motherwell itu tidak melepaskan peluang untuk kembali memberikan kelebihan buat New Zealand pada minit ke-55.

Namun, Mohammad Mohebi tidak membiarkan kelebihan itu berlarutan selepas beliau menanduk masuk bola hasil hantaran lintang Ramin Rezaeian pada minit ke-64.

Aksi selepas itu lebih menarik dengan Iran terus menggandakan asakan bagi mendapatkan jaringan kemenangan, namun usaha tersebut tidak membuahkan hasil untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.

Keputusan tersebut menyaksikan keempat-empat pasukan dalam kumpulan ini mengumpul satu mata selepas Belgium dan Mesir terikat 1-1 pada aksi awal pagi tadi.