Langkah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memperkenalkan rehat hidrasi (hydration break) pada minit ke-22 dan ke-67 dalam setiap perlawanan Piala Dunia 2026 telah menerima kecaman banyak pihak.
Terdapat beberapa rungutan terhadap pengenalan ini daripada peminat, pemain, pengurus dan bekas pengurus.
Antara yang lantang mengkritik ialah kapten Belanda, Virgil van Dijk, pengendali Amerika Syarikat Mauricio Pochettino dan bekas pengurus Liverpool Jurgen Klopp.
Sementara itu, penyokong England di stadium dilihat mencemuh sepanjang rehat hidrasi kerana mereka berpendapat secara sinis bahawa ia digunakan oleh penyiar untuk menayangkan iklan.

FIFA Pertahan ‘Hydration Break’
Susulan kritikan yang diterima, Presiden FIFA, Gianni Infantino telah mengeluarkan satu kenyataan bagi menjawab kontroversi mengenai dakwaan bahawa rehat hidrasi ini diperkenalkan untuk tujuan ruang iklan.
“Sebab utama adalah cuaca panas, tetapi kita juga perlu memahami bahawa dalam kejohanan seperti Piala Dunia FIFA yang berlangsung selama 39 hari, dengan pasukan berkemungkinan bermain lapan perlawanan dalam tempoh itu, rehat seketika adalah sangat penting.”
“Apa yang lebih penting bagi kami adalah memastikan semua pasukan, dalam setiap perlawanan, bermain dalam keadaan yang sama.”

“Adalah sukar untuk menerima bahawa seorang jurulatih mungkin mempunyai peluang untuk mempengaruhi perlawanan dengan membuat pelarasan hanya kerana cuaca lebih panas, sedangkan dalam perlawanan lain yang suhunya sedikit lebih rendah, jurulatih yang sama tidak mempunyai peluang yang sama.”
“Kami mahu memastikan keadaan yang adil untuk semua, dan sebab itu rehat ini dilaksanakan dalam setiap perlawanan.”
“Tiada sebarang pendapatan tambahan untuk FIFA kerana semua perjanjian komersial telah ditandatangani lebih awal. Jadi, ini bukan isu kewangan bagi kami.”
“Bagi kami, ia semata-mata isu sukan,” ujar Infantino menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawang rasmi FIFA.