Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah membuat pengumuman yang bercanggah dengan undang-undang bola sepak untuk aksi final Piala Dunia 2026 di Stadium MetLife, New Jersey.

Piala Dunia 2026 telah mencipta pelbagai pembaharuan baharu menerusi beberapa perubahan besar termasuk upacara pra-perlawanan yang berbeza, rehat hidrasi (hydration break) serta peraturan pengadil yang lebih ketat.

Piala Dunia
Kredit Foto: Fabrice COFFRINI / AFP

FIFA Perkenal Half-Time Shown Di Final Piala Dunia 2026

Dan FIFA akan sekali lagi mencipta sejarah dengan memperkenalkan pertunjukan separuh masa (half-time show) pertama dalam sejarah final Piala Dunia.

Mengikuti tradisi yang dipopularkan oleh NFL menerusi pertunjukan tahunan Super Bowl, satu persembahan selama 11 minit yang menampilkan barisan artis ternama bakal berlangsung pada aksi tersebut.

Menurut sumber laporan Sport Bible, Justin Bieber, Shakira, Burna Boy, Madonna dan BTS antara nama besar dikaitkan dengan persembahan berkenaan yang diketuai vokalis utama kumpulan Coldplay, Chris Martin.

Terdapat juga penglibatan tambahan daripada watak-watak popular yang ditampilkan dalam Sesame Street dan The Muppets.

Suku Akhir
Kredit Foto: Thomas COEX / AFP

Bagaimanapun, pertunjukan tersebut akan bercanggah dengan satu peraturan lama dalam bola sepak yang menetapkan tempoh rehat separuh masa hanya berlangsung selama 15 minit.

Menurut buku peraturan daripada IFAB (International Football Association Board), tempoh rehat separuh masa ‘hanya boleh diubah dengan kebenaran pengadil’.

Walaupun persembahan itu hanya berlangsung selama 11 minit, masa tambahan diperlukan untuk memasang dan mengalihkan pentas di atas padang yang akan digunakan oleh para artis membuat persembahan.

FIFA masih belum mengesahkan tempoh masa sebenar, namun laporan memetik beberapa sumber menyatakan sasaran mereka adalah untuk menjadikan keseluruhan masa rehat separuh masa berlangsung selama 20 hingga 25 minit.

Sementara itu, The Times melaporkan bahawa tempoh rehat separuh masa mungkin berlangsung sehingga 30 minit dan kedua-dua penyiar ITV serta BBC dijangka menyiarkan persembahan tersebut secara penuh.

Dalam aksi final Piala Dunia Kelab tahun lalu, persembahan separuh masa turut diadakan di stadium sama yang menjadi lokasi kejohanan, ketika Chelsea menewaskan Paris Saint-Germain 3-0.

Argentina
Kredit Foto: CHANDAN KHANNA / AFP

Tempoh rehat ketika itu berlangsung selama 24 minit bagi memberi laluan kepada persembahan Doja Cat, Tems dan J Balvin yang diadakan di kawasan tempat duduk penonton, bukannya di atas padang.

Dalam Copa America 2024 pula, Shakira mengadakan persembahan separuh masa di Stadium Hard Rock yang menyebabkan tempoh rehat meningkat kepada 26 minit, sementara Argentina dan Colombia menunggu di bilik persalinan.

Sumber