Demam bola sepak dunia bakal kembali, dan kali ini ia bukan sekadar tentang aksi di atas padang.

Kejohanan Piala Dunia Fifa 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai ini dijangka akan menjadi acara bola sepak terbesar dalam sejarah, dan paling penting ia bakal menjadi pemangkin utama kepada ekonomi dunia.

Menurut analisis impak sosioekonomi oleh Fifa dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), kejohanan yang pertama kali dianjurkan oleh tiga negara serentak (Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico) ini dijangka bakal menyuntik kira-kira AS$41 bilion ke dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Ketika perbelanjaan pengguna pada waktu ini dilihat agak perlahan, acara yang berlangsung empat tahun sekali ini dijangka mencetuskan gelombang perbelanjaan berskala besar. Jom kita lihat sektor dan syarikat mana yang bakal ‘buat duit’ hasil daripada kehangatan Piala Dunia 2026:

1. Tempahan Hotel & Homestay Bakal ‘Full House’

Firma penganalisis B. Riley menganggarkan sekitar 13.1 juta pengunjung (termasuk penonton bertiket dan tidak bertiket) akan membanjiri bandar-bandar tuan rumah. Ini bakal menjana sekitar 21.3 juta tempahan bilik malam menerusi platform pelancongan dalam talian.

Syarikat gergasi perhotelan AS seperti Marriott, Hilton, dan Hyatt, bersama platform tempahan popular seperti Airbnb, Booking Holdings, dan Expedia sudah bersedia untuk menerima limpahan keuntungan ini. Malah, Airbnb menjangkakan hos mereka di sekitar New York-New Jersey, Boston, dan Los Angeles akan mencatat pendapatan tertinggi sepanjang kejohanan berlangsung.

2. Syarikat Penerbangan Kembali Bernafas

Bulan Jun kebiasaannya adalah waktu ‘slow’ untuk sektor pelancongan korporat dan santai, memandangkan musim puncak hanya bermula pada bulan Julai dan Ogos. Namun, penganalisis Goldman Sachs melihat Piala Dunia sebagai talian hayat yang amat positif untuk syarikat penerbangan AS.

Walaupun begitu, ada sedikit cabaran. Kenaikan mendadak harga bahan api jet akibat konflik antarabangsa yang melibatkan Iran baru-baru ini telah memaksa syarikat penerbangan AS menaikkan harga tiket.

Perkara ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada rakyat Amerika yang mungkin terpaksa menangguhkan percutian musim panas mereka.

3. Jualan Minuman Cecah Angka Bilion

Sektor minuman, terutamanya bir, dijangka mencatat jualan luar biasa. Firma penasihat kewangan Jefferies menganggarkan lebih 1 bilion pain bir akan diminum oleh peminat di seluruh dunia, memberi peningkatan volum jualan sebanyak 0.3 peratus kepada industri tersebut, dengan pasaran utama di AS, Mexico, Brazil, dan China.

Waktu tayangan perlawanan juga sangat memihak kepada industri ini. Kira-kira 75 peratus perlawanan berlangsung di AS, dan 84 peratus daripadanya jatuh pada zon waktu yang sangat ‘mesra’ untuk aktiviti tontonan sambil bersantai.

Jenama seperti Anheuser-Busch InBev (penaja rasmi pembuat bir Corona) dan Heineken dijangka menjadi pemenang besar.

4. Jenama Sukan & Runcit Sedia ‘Kaut Untung’

Bila sebut Piala Dunia, semestinya jualan jersi dan barangan rasmi akan mencanak naik. Goldman Sachs menjangkakan permintaan tinggi daripada peminat akan melonjakkan jualan syarikat peruncitan sukan seperti Dick’s Sporting Goods dan Academy Sports.

Jenama sukan global seperti Adidas, Puma, dan Nike juga tidak ketinggalan meraih pendedahan jenama tahap maksimum. Adidas, sebagai penaja rasmi bola perlawanan dan pembuat jersi untuk beberapa pasukan kebangsaan, dilihat berada di posisi terbaik untuk menguasai pasaran sepanjang acara ini.

5. Pesta Makanan, Restoran Segera & Penghantaran

Sektor makanan dan barangan runcit turut terkena tempias positif. Citi menjangkakan pasar raya besar seperti Walmart, Target, Albertsons, dan Kroger akan menikmati peningkatan perbelanjaan isi rumah apabila ramai peminat membeli stok makanan untuk tontonan di rumah.

Bagi mereka yang menonton secara berkumpulan, permintaan terhadap restoran dan perkhidmatan penghantaran makanan akan melonjak. Jenama seperti McDonald’s, Domino’s Pizza, Wingstop, dan Chipotle, serta pengedar makanan seperti Sysco dan US Foods, bersiap sedia menerima tempahan tanpa henti.

6. Platform Media Sosial & Penyiaran Buat Duit ‘Kaw-Kaw’

“Piala Dunia 2026 dijangka menjana hasil pengiklanan AS paling tinggi dalam sejarah acara ini,” kata penganalisis Deutsche Bank.

Morgan Stanley pula menganggarkan acara ini boleh membawa masuk antara AS$300 juta hingga AS$400 juta hasil pengiklanan untuk saluran Fox (hak penyiaran Bahasa Inggeris). Telemundo pula bakal mendominasi penonton berbahasa Sepanyol.

Bukan itu sahaja, syarikat internet seperti YouTube (Alphabet) dan Instagram (Meta) dijangka melihat peningkatan trafik dan interaksi pengguna yang sangat luar biasa sepanjang musim bola ini.

7. Lonjakan Industri Pertaruhan Sukan

Satu lagi sektor yang tidak dapat lari daripada kehangatan Piala Dunia adalah industri pertaruhan sukan. Firma kewangan Macquarie meramalkan nilai keseluruhan pertaruhan global untuk kejohanan kali ini bakal melepasi AS$50 bilion (hampir AS$0.5 bilion bagi setiap perlawanan!)

Sebagai perbandingan, edisi 2022 sebelum ini mencatatkan nilai lebih AS$35 bilion. Platform dalam talian seperti Flutter Entertainment dan DraftKings dijangka menunjukkan prestasi yang cemerlang.

Ringkasnya, Piala Dunia 2026 bukan sekadar pentas untuk mencari jaguh bola sepak dunia yang baharu.

Ini adalah satu festival ekonomi gergasi yang bakal menyegarkan semula pelbagai industri, dari saat anda menempah tiket penerbangan sehinggalah kepada apa yang anda makan sambil menonton perlawanan.

Sumber