Sepanyol meneruskan kemaraan cemerlang mereka di Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Austria 3-0 dalam aksi pusingan 32 terakhir di Stadium SoFi, Los Angeles awal pagi tadi.
Skuad kendalian Luis de la Fuente mempamerkan aksi dominan sepanjang perlawanan dengan Mikel Oyarzabal muncul wira apabila menjaringkan dua gol, manakala Pedro Porro turut mencatat nama sebagai penjaring untuk memastikan La Roja melangkah ke pusingan 16 terbaik.
Sepanyol menguasai permainan sejak wisel permulaan dengan Lamine Yamal dan Alex Baena kerap mengancam benteng Austria. Bagaimanapun, jaringan pembukaan hanya hadir pada minit ke-36 apabila Oyarzabal menyudahkan gerakan kemas hasil hantaran Marc Cucurella untuk meletakkan Sepanyol di hadapan.
Sebelum tamat babak pertama, Baena hampir menggandakan kelebihan apabila sepakan percumanya menggegarkan palang gol, manakala percubaan susulan Yamal berjaya diselamatkan penjaga gol Austria, Alexander Schlager. Austria bernasib baik hanya ketinggalan satu gol ketika rehat.
Memasuki separuh masa kedua, Austria cuba bangkit dengan memasukkan Marko Arnautovic dan Sasa Kalajdzic, namun Sepanyol terus mengawal tempo permainan.
Gol kedua akhirnya hadir pada minit ke-66 menerusi Pedro Porro yang menjaringkan gol antarabangsa pertamanya.
Gerakan cantik bermula daripada Alex Baena dan Dani Olmo sebelum Baena melorongkan hantaran silang tepat kepada Porro untuk menanduk masuk bola ke gawang Austria.
Austria tetap berusaha mencari gol saguhati menerusi Arnautovic, Chukwuemeka dan Stefan Posch, namun pertahanan Sepanyol kekal ampuh. Malah, David Alaba turut menyelamatkan satu percubaan Yamal di atas garisan gol ketika perlawanan berbaki beberapa minit.
Oyarzabal melengkapkan kemenangan bergaya Sepanyol pada minit ke-89 apabila menyempurnakan satu lagi gerakan menyerang yang kemas untuk menjadikan kedudukan 3-0. Gol tersebut mengesahkan kemenangan meyakinkan Sepanyol, yang masih belum dibolosi sepanjang kempen Piala Dunia kali ini.
SPAIN CRUISE TO THE ROUND OF 16 🇪🇸
They await the winner of Portugal and Croatia 🍿 pic.twitter.com/iRrg8Tlehg
— ESPN FC (@ESPNFC) July 2, 2026
Kemenangan itu menyaksikan Sepanyol mara ke pusingan 16 terbaik, di mana mereka akan bertemu pemenang antara Portugal dan Croatia dalam usaha meneruskan misi memburu gelaran juara dunia.