Arab Saudi yang bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 menerima penilaian teknikal lebih tinggi berbanding penganjur bersama Piala Dunia 2026 iaitu Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico, meskipun negara Timur Tengah itu masih perlu membina beberapa stadium yang dicadangkan untuk kejohanan berkenaan.

FIFA dalam laporan penilaiannya menyatakan Arab Saudi memperoleh markah purata keseluruhan 4.2 daripada 5, walaupun lapan stadium masih belum dibina.

Baca Juga:

Semua venue, termasuk Stadium Antarabangsa Raja Salman yang dirancang dengan kapasiti 92,760 tempat duduk di Riyadh, dijangka siap menjelang 2032, tetapi tiga stadium baharu akan disiapkan untuk Piala Asia yang bermula Januari 2027.

Sebagai perbandingan, tuan rumah bersama 2026 mendapat markah 4.0, selepas pada awalnya mencadangkan 23 stadium yang semuanya telah sedia dibina.

Akhirnya, 16 bandar tuan rumah untuk Piala Dunia 2026 diumumkan, dengan kebanyakan venue adalah stadium NFL sedia ada.

“Bidaan (Arab Saudi) ini merangkumi beberapa projek stadium di lokasi unik, termasuk Stadium Putera Mohammed bin Salman dalam pembangunan Qiddiya dan Stadium NEOM dalam pembangunan ‘The Line’,” menurut laporan FIFA.

Namun, beberapa projek telah dikecilkan skopnya akibat peningkatan kos, termasuk ‘The Line’, sebuah bandar futuristik terdiri dinding cermin sepanjang 170 km yang merentasi padang pasir dalam NEOM.

“Justeru, jika bidaan ini berjaya, adalah penting untuk memantau dan menyokong projek-projek ini secara lebih dekat bermula peringkat awal hingga selesai,” tambah FIFA.