Iran tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan pada aksi sulung kumpulan F Piala Dunia Futsal 2024 selepas mudah membelasah Venezuela 7-1 di Bukhara Universal Sports Complex, Uzbekistan sebentar tadi.
Membariskan antara skuad terkuat pernah dimiliki, Iran jelas berada di kelas tersendiri untuk menghukum lawan dari Amerika Selatan itu dengan aksi tersusun dipamerkan.
Baca Juga:
- Piala Dunia Futsal 2024: Thailand Bermula Baik, Atasi Croatia 2-1
- Senarai Penuh Negara Bertanding Dalam Piala Dunia Futsal 2024
- Nostalgia Malaysia Mengharungi Piala Dunia Futsal 1996 Tanpa Pengalaman Futsal
Skuad kendalian legenda Iran, Vahid Shamshaee itu berada dihadapan pada minit ketujuh menerusi jaringan Salar Aghapour yang dengan tenang menyempurnakan serangan balas pantas setelah menerima hantaran cantik daripada Moslem Oladghobad.
Berselang hampir tiga minit kemudian, Mahdi Karimi menghasilkan jaringan kedua apabila beliau mudah menolak masuk bola ketika situasi kelam-kabut dihadapan pintu gol Venezuela.
Karimi kemudiannya menambah jaringan kedua peribadinya pada minit ke-12 untuk melebarkan kedudukan buat skuad ranking keempat dunia itu.
Memasuki minit ke-14, Milton Francia menghadirkan keceriaan seketika buat Venezuela berpunca daripada gerakan solonya di tengah gelanggang lalu disudahkan dengan rembatan yang membolosi kawalan penjaga gol, Saeid Momeni.
Behrooz Azimi menutup aksi babak pertama dengan jaringan keempat buat Iran selepas rembatannya berjaya melepasi celah kaki penjaga gol Venezuela, Carlos Vasquez.
Iran terus bernafsu memburu jaringan pada babak kedua berjaya menambah tiga lagi gol menerusi Salar Aghapour pada minit ke-22, Amirhossein Davoudi (minit ke-26) dan Behrooz Azimi (minit ke-38) untuk mengesahkan kemenangan besar memihak Iran.