Peringkat kumpulan bagi saingan Piala Dunia Futsal 2024 sudah berakhir lewat malam tadi untuk melengkapkan 16 pasukan yang akan ke pusingan seterusnya.

Seperti dijangka pasukan-pasukan gergasi seperti Portugal, Argentina, Brazil, Sepanyol  dan Iran tidak berdepan masalah untuk mengungguli kumpulan masing-masing.

Baca Juga:

Dua pasukan yang membuat penampilan sulung dalam kancah Piala Dunia Futsal iaitu Perancis dan Afghanistan turut berjaya melepasi peringkat kumpulan.

Perancis menduduki tempat kedua kumpulan F manakala Afghanistan menjadi salah satu daripada empat pasukan tangga ketiga terbaik.

Satu lagi wakil Asia, Thailand turut mengesahkan tempat ke pusingan 16 selepas menang pada dua perlawanan awal bertemu Croatia dan Cuba walaupun aksi terakhir mereka berkesudahan dibelasah Brazil 1-9.

Keadaan itu menyaksikan benua Asia menyandarkan harapan kepada tiga wakilnya selepas tuan rumah, Uzbekistan dan Tajikistan tersingkir daripada persaingan.

Pusingan 16 yang dijadualkan bermula 8.30 malam esok menyaksikan pertemuan menarik seperti Portugal menentang Kazakhstan manakala Iran akan menghadapi cabaran Maghribi.

Berikut merupakan senarai penuh jadual perlawanan pusingan 16 Piala Dunia Futsal 2024:

1) Brazil lawan Costa Rica – 24 September – 8.30 malam

2) Belanda lawan Ukraine – 24 September – 11.00 malam

3) Sepanyol lawan Venezuela – 25 September – 8.30 malam

4) Paraguay lawan Afghanistan – 25 September – 11.00 malam

5) Iran lawan Maghribi -26 September – 8.30 malam

6) Portugal lawan Kazakhstan – 26 September – 11.00 malam

7) Thailand lawan Perancis – 27 September – 8.30 malam

8) Argentina lawan Croatia – 27 September – 11.00 malam

Piala Dunia Futsal 2024: Iran, Thailand & Afghanistan Bawa Cabaran Asia Di Pusingan 16
Kredit Foto: FIFA