Skuad hoki lima sebelah (5s) lelaki Malaysia melangkah ke suku akhir selepas berjaya menundukkan Fiji 8-3 pada aksi terakhir peringkat kumpulan D Piala Dunia 5s yang berlangsung di Muscat, Oman sebentar tadi.

Masih segar dengan kemenangan 3-2 ke atas Amerika Syarikat semalam, anak buah Wallace Tan tampil bertenaga untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.

Baca Juga:

Ia jelas dibuktikan apabila Abid Sufian Mat Ruslee membuka tirai jaringan seawal minit ketiga hasil kuisan kemas setelah beliau menerima hantaran daripada Muhammad Firdaus Omar.

Syarman Mat Tee menjadikan kedudukan 2-0 berselang lima minit kemudian apabila tolakannya hanya mampu dipandang penjaga gol Fiji, Draugunu Ropate.

Ketua pasukan, Akhimullah Anuar Esook meledakkan jaringan pada minit ke-10 dan Syarman menambah jaringan kedua peribadinya pada minit ke-13.

Adrian Smith cuba merapatkan kedudukan juga pada minit ke-13 tetapi Akhimullah terus melebarkan kelebihan skuad negara hasil jaringan pada minit akhir babak pertama.

Kesilapan pemain negara yang tidak mengeluarkan bola dari kawasan bahaya telah memberikan ruang buat Jerome Edwards menjaringkan gol kedua buat Fiji pada minit ke-18.

Namun, ia langsung tidak merentap semangat pemain negara yang menambah dua jaringan menerusi Firdaus Omar dan Kamaruzaman Kamaruddin pada minit ke-22 dan ke-26.

Percubaan jarak jauh Hector Jnr Smith ketika aksi memasuki minit ke-28 gagal diselamatkan penjaga gol Malaysia, Che Shahrul Azmi Che Saupi untuk Fiji menambah jaringan ketiga.

Tidak sampai seminit, Akhimullah menampilkan kawalan bola yang cukup memukau yang kemudiannya disudahkannya dengan baik untuk melengkapkan hatrik serta mengesahkan kemenangan 8-3 memihak skuad negara.

Skuad negara bagaimanapun perlu menunggu satu lagi aksi di kumpulan D yang menemukan Oman dan Amerika Syarikat untuk menentukan status selaku juara atau naib juara kumpulan.