Terengganu FC (TFC) mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan hari ini apabila berpesta gol belasah Sabah 4-0 pada aksi suku akhir pertama Piala FA 2024/2025 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ketiadaan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner yang dikuarantin selepas dijangkiti COVID-19 bukan penghalang untuk skuad penyu mengamuk menjaringkan 4 gol pada separuh masa pertama

Baca Juga:

Malah, lapan pemain daripada skuad ini juga baru pulih daripada jangkitan COVID-19 dan berjaya menghalang Sabah menjaringkan sebarang gol.

Gol pertama Terengganu hadir seawal minit ke 8 selepas Manny Ott menyudahkan umpanan Safawi Rasid yang memperdayakan benteng pertahanan Sabah.

Pada minit ke-37, giliran Ismaheel Akinade pula mencatat nama sebagai penjaring selepas merembat masuk gol kedua dalam situasi kelam kabut di kawasan kotak penalti.

Benteng pertahanan Sabah terus lalai dan memberi peluang kepada Terengganu merobek gawang buat kali ketiga menerusi rembatan pemain tengah Croatia, Marin Pilj pada minit ke-42.

Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, Akinade memastikan gawang skuad Badak yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat bocor lagi dan kedudukan 4-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, tiada tambahan gol dijaringkan oleh kedua-dua pasukan dan Sabah masih tiada idea untuk menembusi benteng pertahanan Terengganu.

Tamat 90 minit perlawanan, Terengganu membawa bekalan selesa 4 gol ke Kota Kinabalu untuk aksi suku akhir kedua di Stadium Likas yang dijadualkan berlangsung pada 6 Julai 2024.