Vietnam mengekalkan status sebagai juara serantau selepas mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Thailand dalam aksi timbal balik final Piala Hyundai ASEAN 2026 di Hanoi, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Kim Sang-sik melengkapkan kemenangan agregat 4-2 untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi lalu.

Dengan kejayaan bermakna tersebut, Vietnam turut menerima hadiah kemenangan berjumlah $500,000.

Piala Hyundai ASEAN 2026: Vietnam Kekalkan Kejuaraan, Tewaskan Thailand Di Final
Pemain Vietnam meraikan kejayaan muncul Juara Piala Hyundai ASEAN 2026. Kredit Foto: SPORTFIVE

Jaringan sendiri penjaga gol Thailand, Chatchai Bootprom pada minit ke-52 ternyata menjadi detik penting yang mengesahkan kejuaraan Vietnam.

Ia juga menyaksikan Vietnam berjaya mempertahankan gelaran buat kali pertama selepas sebelum ini muncul juara pada 2008, 2018 dan 2024.

Thailand yang ketinggalan 0-2 selepas aksi pertama memperoleh suntikan semangat apabila Yotsakon Burapha membuka jaringan pada minit ke-12.

Waris Choolthong melakukan hantaran silang dari sebelah kanan sebelum Seksan Ratree melakukan hantaran pendek kepada Yotsakon yang tidak dikawal di dalam kotak penalti. Pemain berkenaan kemudiannya melepaskan rembatan yang menewaskan Patrik Le Giang di sebelah kanan gawang.

Thailand yang merupakan juara ASEAN sebanyak tujuh kali terus tampil agresif selepas rehat dan hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-49.

Kakana Khamyok berjaya memperdayakan Phạm Xuan Mạnh sebelum pemain pertahanan Vietnam itu menjatuhkan pemain berusia 22 tahun tersebut di dalam kotak penalti. Pengadil Ahmed Eisa Darwish kemudian menghadiahkan sepakan penalti kepada Thailand.

Bagaimanapun, Kakana gagal memanfaatkan peluang tersebut apabila sepakan penaltinya melambung tinggi melepasi palang.

Hanya tiga minit kemudian, Vietnam menghukum kegagalan tersebut. Hantaran Tuan Tai menemui Do Hoang Hen yang berada dalam ruang terbuka di dalam kotak penalti.

Rembatannya terkena tiang sebelum bola bergerak lalu terkena tumit Chatchai untuk bola bergolek masuk ke dalam gawang.

Aksi final timbal balik itu merupakan penampilan pertama Chatchai dalam kejohanan berkenaan. Beliau diturunkan bagi menggantikan Kampon Phatomakkakul yang beraksi dalam kesemua tujuh perlawanan Thailand sebelum ini di saingan Piala Hyundai ASEAN 2026.

Piala Hyundai ASEAN 2026: Vietnam Kekalkan Kejuaraan, Tewaskan Thailand Di Final
Nguyen Xuan Son muncul penjaring terbanyak  Piala Hyundai ASEAN 2026 bersama Nguyen Dinh Bac. Kredit Foto: SPORTFIVE

Thailand kembali menghidupkan harapan enam minit sebelum tamat perlawanan apabila Wanchai Jarunongkran meledak gol kedua.

Kegagalan pertahanan Vietnam mengeluarkan hantaran lintang Waris dari sebelah kanan memberi ruang kepada Wanchai untuk melepaskan rembatan rendah yang menewaskan Patrik.

Namun, harapan Thailand untuk mencipta kebangkitan dramatik berkubur pada masa kecederaan apabila Wanchai tertampan bola ke gawang sendiri, sekali gus mengesahkan kemenangan agregat 4-2 buat Vietnam dan mencetuskan kegembiraan penyokong tuan rumah.

Senarai Lengkap Pemenang Anugerah Individu Piala Hyundai ASEAN 2026

Juara: Vietnam

Naib Juara: Thailand

Pemain Paling Bernilai (MVP): Nguyen Dinh Bac (Vietnam)

Penjaring Terbanyak Yanmar: Nguyen Dinh Bac (Vietnam) & Nguyen Xuan Son (Vietnam) – 5 gol

adidas Rising Star: Yotsakon Burapha (Thailand)

Penjaga Gol Terbaik: Patrik Le Giang (Vietnam)

Pemain Terbaik Perlawanan Hyundai (Final): Do Hoang Hen (Vietnam)