Singapura berjaya mara ke separuh akhir Kejohanan Piala Hyundai ASEAN 2026 atau Piala AFF 2026 selepas keputusan seri 1-1 menentang Indonesia di Stadium Jalan Besar sudah memadai untuk memastikan mereka menamatkan saingan dalam kelompok dua terbaik Kumpulan A.

Dalam perlawanan yang berlangsung sengit, Indonesia terlebih dahulu membuka jaringan dua minit selepas babak kedua bermula.

Ragnar Oratmangoen menjaringkan gol dari jarak dekat selepas percubaan pertamanya tersasar sebelum menyambar hantaran Dony Tri Pamungkas.

Indonesia memerlukan kemenangan untuk memintas kedudukan dan layak ke separuh akhir. Peluang mereka dilihat semakin cerah pada minit ke-58 apabila pemain Singapura, Song Ui-Young, dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua.

Bagaimanapun, VAR menyelamatkan Song dan Singapura apabila pengadil membatalkan keputusan tersebut selepas mendapati Song tidak melakukan kekasaran melampau terhadap Ivar Jenner, yang sebelum itu melakukan terjahan keras ke atasnya.

Selepas menunggu hampir lima minit, keputusan pengadil akhirnya diubah dan detik itu menjadi titik perubahan perlawanan. Enam minit kemudian, Singapura berjaya menyamakan kedudukan.

Ilhan Fandi sekali lagi membuktikan dirinya sebagai pemain yang mampu menyerlah dalam aksi besar.

Selepas sepakan penjuru Singapura berjaya dikeluarkan, bola kembali dihantar ke dalam kotak penalti sebelum berlaku salah faham antara penjaga gol Indonesia, Cahya Supriadi, dan kapten pasukan, Rizky Ridho, ketika menerima tekanan daripada Harhys Stewart.

Bola yang terlepas itu disambar pantas oleh Ilhan, yang tenang menyudahkan peluang ke gawang kosong untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Indonesia terus memburu gol kemenangan dengan Thom Haye menjadi penggerak utama di bahagian tengah. Pada minit ke-79, Haye hampir mencipta bantuan gol menerusi hantaran cantik melepasi benteng Singapura, namun Rizky Eka Pratama memilih untuk melakukan percubaan ke arah tiang dekat dan bola hanya singgah di jaring sisi.

Ketika Indonesia semakin agresif menyerang, Singapura turut memiliki peluang untuk memastikan kemenangan. Shawal Anuar hampir menjaringkan gol pada minit keenam masa kecederaan selepas melakukan serangan balas, namun gagal menewaskan Cahya dari sudut sempit.

Tiga minit kemudian, Shawal sekali lagi menemui jaringan tetapi golnya dibatalkan kerana ofsaid.

Keputusan seri itu akhirnya sudah cukup buat Singapura untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir hasil aksi penuh semangat dan disiplin, dengan Ilhan Fandi sekali lagi muncul sebagai watak penting buat skuad Lions.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Vietnam menewaskan Kemboja untuk muncul juara kumpulan. Singapura menamatkan saingan sebagai naib juara dan kini menanti keputusan Kumpulan B bagi mengetahui lawan mereka di separuh akhir.

Ianya satu penyingkiran yang sangat pahit untuk Indonesia, ketika penyokong mereka meletakkan harapan sangat tinggi ke atas pasukan mereka untuk menamatkan penantian kejuaraan Piala AFF.