Skuad badminton Malaysia mengesahkan slot ke suku akhir Piala Sudirman 2025 selepas menundukkan Australia 4-1 pada aksi kedua saingan kumpulan C sebentar tadi.

Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakarkan kem negara selepas turut menang selesa 5-0 ke atas Perancis, semalam.

Baca Juga:

Ini bermakna Malaysia dan Jepun akan menjadi wakil kumpulan yang mara ke suku akhir dan aksi kedua-dua negara pada 1 Mei nanti bakal menentukan kedudukan akhir mereka.

Mata pertama pada aksi bertemu Australia disumbangkan oleh pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang berjaya menundukkan Ricky Tang-Gronya Somerville 21-8, 21-12.

Justin Hoh kemudiannya menggalas tanggungjawab dengan baik selepas menewaskan Shrey Dhand dengan kemenangan 21-9, 21-15 dalam tempoh 36 minit.

Kemenangan skuad negara disahkan oleh pemain perseorangan wanita, K. Letshanaa yang tidak berdepan masalah untuk mengenepikan cabara Kai Kee Teo 21-6, 21-8.

Momentum cemerlang itu diteruskan oleh Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turut mudah menewaskan Jack Yu-Frederick Zhao 21-8, 21-9.

Mata tunggal Australia diraih pasangan wanita lebih berpengalaman iaitu Gronya Somerville-Angela Yu yang menundukkan Go Pei Kee-Carmen Ting 21-15, 21-18.

Dalam satu lagi aksi kumpulan C Piala Sudirman 2025, Jepun turut mencatatkan keputusan selesa mengatasi Perancis dengan keputusan 5-0.