Malaysia gagal meneruskan rentak cemerlang dalam kempen Piala Sudirman 2025 selepas tewas kepada pasukan pilihan, Jepun 2-3 pada aksi terakhir peringkat kumpulan yang berlangsung di Xiamen sebentar tadi.
Keputusan tersebut menyaksikan Jepun mara ke suku akhir selaku juara kumpulan C dengan tiga kemenangan berturut-turut manakala Malaysia berada di kedudukan kedua untuk mengiringi negara matahari terbit itu.
Baca Juga:
- Info Siaran Langsung Piala Sudirman 2025 Malaysia vs Jepun
- Ini Sejarah Piala Sudirman: Dari Sebuah Surat, Lahirnya Kejohanan Dunia Bercampuran
- Piala Sudirman 2025: Tundukkan Australia, Malaysia Tempah Slot Ke Suku Akhir
Saingan cukup menarik dapat disaksikan apabila Malaysia terlebih dahulu meraih mata pertama dalam acara beregu campuran selepas Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menundukkan Hiroki Midorikawa-Arisa Igarashi dengan kemenangan ‘straight set’ 21-19, 21-18.
Kecemerlangan itu diteruskan wakil perseorangan lelaki, Leong Jun Hao selepas beliay mencipta kejutan ke atas pemain ranking kelapan dunia, Kodai Naraoka dalam aksi yang berlanjutan ke ‘rubber set’.
Jun Hao tidak berdepan masalah untuk menang 21-8 pada set pertama tetapi Naraoka bangkit dengan kemenangan 21-13 bagi mengheret permainan ke set penentuan.
Aksi kejar-mengejar mata pada set ketiga akhirnya memihak Jun Hao yang menang 21-18 bagi menghadiahkan mata kedua buat kem negara.
Kebangkitan Jepun bermula dengan kejayaan pemain perseorangan wanita, Tomoka Miyazaki menundukkan Goh Jin Wei 21-14, 21-17.
Takuro Hoki-Yugi Kobayashi mempamerkan semangat juang yang cukup kental terutamanya pada set kedua dan ketiga untuk menewaskan juara Asia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 12-21, 22-20, 23-21.
Jepun meraih mata kemenangan selepas Nami Matsuyama-Chiharu Shida yang mengepikan cabaran hebat Pearly Tan-M. Thinaah 21-18, 18-21, 21-18.
Difahamkan undian bagi peringkat suku akhir akan diadakan sebentar lagi.